Mesyuarat Kabinet Cadang Bubar, Gantung Parlimen?


(Suara TV) – Mesyuarat Khas Kabinet yang berakhir sebentar tadi dikatakan akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat dan ‘Darurat Politik‘ kepada Yang Di Pertuan Agong bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Dalam keadaan kerajaan hanya mempunyai 113 sokongan ahli Dewan Rakyat, kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan sentiasa menjadi bahan pertaruhan ahli politik lain.

Kabinet dikatakan menyaran supaya Muhyiddin mempersembahkan cadangan ini untuk pertimbangan Yang Di-Pertuan Agong.

Berdasarkan keadaan pandemik Covid-19 yang menular sekarang, kabinet dikatakan turut berbincang mengenai kemungkinan Tuanku mempertimbangkan cadangan menggantung Parlimen dan menjalankan ‘darurat pentadbiran’ selama 6 bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Kehadiran Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang, dalam mesyuarat khas kabinet hari ini dikatakan bagi mendapat maklum balas mengenai kemungkinan darurat pentadbiran.

Ini menguatkan lagi andaian Tuanku Agong akan mempertimbangkan darurat sebagai satu langkah sementara menstabilkan politik negara.

Jika ini berlaku Tuanku Agong akan mengambil alih pentadbiran negara dengan nasihat kabinet darurat.Ia boleh jadi kabinet sedia ada atau kabinet baharu.

Pengisytiharan darurat ini membolehkan kerajaan melakukan perbelanjaan kecemasan tanpa perlu kelulusan Parlimen.

Kerajaan sedia ada dikatakan percaya Belanjawan 2021 yang bakal dibentang November ini tidak akan lulus akibat kekurangan sokongan majoriti.

Dalam masa yang sama darurat politik ini tidak membabitkan pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia seperti darurat keselamatan.

 



Comments
Loading...