Darurat: PKR dakwa Muhyiddin takut Anwar


(MalaysiaGazette) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan cadangan pengisytiharan darurat pentadbiran oleh Kabinet Perikatan Nasional (PN) semalam amat aneh kerana mahu dilaksanakan ketika negara dalam keadaan aman.

Alasan untuk memerangi Covid-19 tidak boleh digunapakai untuk mewajarkan darurat memandangkan negara-negara yang mengalami kes aktif yang lebih tinggi akibat virus Covid 19 masih mampu menangani wabak itu tanpa mengenakan perintah darurat.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul yang dijadualkan pada persidangan bermula 2 November 2020 ini tidak akan berlaku.

Ini termasuklah usul undi tidak percaya yang perlu dihadapi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bahkan sekiranya Kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baharu boleh dilantik.

”Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak Kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian untuk meluluskan apa jua usul di Parlimen?,” soalnya sambil memaklumkan PKR menentang sikap bacul pentadbiran Muhyiddin ini yang menggunakan darurat bagi mengelakkan PN tumbang secara sah dan demokratik.

Shamsul Iskandar mendakwa keterujaan PN untuk melaksanakan perintah darurat juga akan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia yang dianggap tidak stabil dan bakal merugikan pelaburan mereka.

Dengan itu ekonomi Malaysia yang kuncup – 17 peratus pada suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka meleset dan seterusnya menyebabkan pembuangan pekerjaan pada skala besar-besaran apabila industri muflis atau mengecilkan operasi.

Oleh itu, katanya, PKR berpendapat PN tidak wajar memperjudikan ekonomi 32 juta rakyat Malaysia hanya kerana PN takut akan kehilangan kuasa.

”Bukankah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah pun mengisytiharkan sokongan UMNO kepada PN. Mengapakah Muhyiddin begitu takut dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun setelah memperoleh sokongan parti UMNO?” soalnya.

Beliau berkata, PKR berpendapat wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan prosedur standar operasi yang ketat disamping akta-akta sedia ada.

Sebaliknya, pemerintahan darurat tidak akan menjadikan pentadbiran Malaysia lebih baik sebaliknya hanya akan menjadikan Malaysia setaraf negara Afrika yang bergolak dan ditadbir oleh seorang diktator.

”Sesungguhnya nagara kita Malaysia tidak perlukan darurat hanya kerana karier politik Muhyiddin dan Kerajaan PN yang berada dalam keadaan genting, meruncing lagi darurat!” tambahnya.

 



Comments
Loading...