Raja-Raja Melayu Adakan Pertemuan Esok


(BH Online) – Raja-Raja Melayu dijadual mengadakan pertemuan khas esok di Istana Negara bagi membincangkan mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Pertemuan itu diadakan selepas Perdana Menteri menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdulaziz, Kuantan, semalam.

Menurut sumber Yang di-Pertuan Agong masih berada, di Kuantan Pahang setakat pagi tadi.

Pertemuan Raja-Raja Melayu esok dijangka memperincikan segala cadangan dibawa kerajaan semalam termasuk kemungkinan untuk melaksana pengisytiharan darurat atau prorog Parlimen.

Berdasarkan gambar yang tular sejak semalam, selain Muhyiddin, beberapa menteri Kabinet juga kelihatan mengiringi beliau mengadap Agong, selain Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Istana Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin.

Spekulasi mengenai darurat dan prorog parlimen bertiup kencang sejak semalam sebaik selesai mesyuarat khas Kabinet yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pagi semalam.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet itu dan sehingga kini belum ada pengumuman rasmi dari kerajaan berkenaan hasil mesyuarat terbabit berlangsung selama tiga jam itu.

Situasi itu membangkitkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat dan netizen di media sosial termasuk keperluan mengadakan darurat dan bentuk-bentuk darurat dalam menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini.

 



Comments
Loading...