Ronnie Liu didakwa hasut rakyat benci raja Melayu secara halus


Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar, Ismaweb

Tidak keterlaluan jika didakwa tindakan pemimpin DAP, Ronnie Liu memuat naik gambar berkenaan demonstrasi di Thailand merupakan cara halus untuk menghasut rakyat supaya membenci sistem beraja di negara ini.

Tindakan itu juga dipercayai sejajar dengan matlamat parti berkenaan untuk menghapuskan sistem raja-raja Melayu yang sudah diguna pakai sejak sekian lama dan digantikan dengan sistem lain.

Oleh yang demikian, Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris mendesak, pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu.

Rashidi turut menegaskan, tidak sepatutnya ada pihak cuba membandingkan raja yang memerintah di Thailand dan Malaysia kerana ianya nyata berbeza.

“Raja-raja Melayu ini…terikat dengan Perlembagaan dan juga mempunyai Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu.

“… yang mengambil kira persetujuan dari setiap seorang raja atau sultan untuk membuat sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Ronnie memuat naik satu hantaran di Facebook berkenaan keadaan di Thailand yang mengadakan demontrasi terhadap rajanya.

“Sekarang di Bangkok. Mereka (rakyat Thailand) mengatakan tidak kepada raja,” menurut Ronnie dalam hantaran yang turut memaparkan tiga keping gambar demontrasi di negara jiran itu.

Bagaimanapun, hantaran itu telah dipadam oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkenaan, namun sempat ditangkap layar netizen dan menularkan hantaran tersebut di media sosial.

Dalam pada itu, Rashidi berharap perbuatan Ronnie dikenakan tindakan sewajarnya yang boleh dijadikan tauladan kepada rakyat Malaysia lain.

“Sehubungan itu, MUAFAKAT mendesak pihak berwajib agar segara mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang ada membuat kenyataan-kenyataan berbaur hasutan terutama terhadap kepentingan negara seperti Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong.

“Selain itu terhadap bendera Jalur Gemilang, Jata Negara dan semua yang menjadi simbol kedaulatan negara. Ini soal maruah negara, dan institusi raja-raja Melayu yang bukan hanya simbol kedaulatan tetapi adalah juga maruah negara,” tegasnya.

 



Comments
Loading...