Muhyiddin paksa Umno pilih Hishamuddin sebagai TPM
Umno mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin memaksa mereka agar menerima Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri, dakwa orang kanan Datuk Seri Najib Razak.
(Malaysia Dateline) – Datuk Lokman Noor Adam dalam siaran langsung menerusi facebook beliau malam tadi mendakwa, ia dimaklumkan Muhyiddin kepada Umno petang semalam.
“Pagi semalam Muhyiddin kata, beliau sedia terima siapa sahaja sebagai timbalan perdana menteri dari Umno kecuali Zahid Hamidi.
“Hari ini dia paksa Umno terima Hishamudidn Hussein pula jadi TPM,” dakwa Lokman, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam siaran itu.
Hishamuddin disifatkan oleh pemimpin dan ahli Umno sebagai individu yang menikam mereka dari belakang selepas mengetuai komplot membawa para ahli parlimen dari Umno lari meninggalkan mereka dan menyertai Bersatu ketika beliau masih kekal dalam parti itu.
Hishamuddin juga merupakan besan kepada Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Ketua Penerangan Bersatu yang juga bekas timbalan Presiden PKR yang mengkhianati parti itu.
Seorang aktivis Umno, Zaharin Mohd Yassin juga menzahirkan bantahan kepada cadangan Muhyiddin untuk memilih Hishamuddin.
“Mengkhianati Umno hanya merugikan ahli parti. Tetapi yang ini pengkhianat negara. Bagilah pencerahan wahai pengkhianat Umno. Jangan sampai BN gunakan duit haram dalam aktiviti parti,” tulis Zaharin sambil meletakkan gambar Hishamuddin.
Malaysia Dateline difahamkan, perlantikan pemimpin Umno sebagai timbalan perdana menteri adalah sebahagian dari syarat yang ditetapkan Umno kepada Bersatu jika mereka mahu sokongan dari Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.
Dalam siaran yang sama, Lokman turut mengecam Muhyiddin yang terus bermain politik ketika Yang Dipertuan Agong memberikan titah agar ahli politik tidak lagi berbuat demikian tetapi berusaha mempastikan agar Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan diluluskan.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut mengesan perkara yang sama apabila mereka tidak pernah dipanggil untuk berbincang bagi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan apabila dibentangkan nanti.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia untuk berbincang. Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pemimpin AMANAH.