Dr Mahathir jumpa Ku Li, Mat Sabu hanya bincang politik


(FMT) – Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau terlibat rundingan untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti didakwa susulan gambar pertemuannya dengan beberapa pemimpin tular minggu lalu.

Beliau yang juga bekas pengerusi PPBM dan kini pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, ini termasuk pertemuan dengan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang dianggapnya sebagai pertemuan biasa antara rakan.

“Ku Li (Tengku Razaleigh) dulu dalam Kabinet saya. Dia nak jumpa takkan kata tak boleh.

“Mat Sabu (Mohamad Sabu) ini dia datang selalu. Dia jumpa saya tanya pasal politik boleh la,” katanya dalam program Pejuang di Langkawi malam tadi.

Bulan lalu, Mahathir dikatakan masih berusaha mengetengahkan idea kerajaan perpaduan selepas gambar pertemuannya dengan Tengku Razaleigh atau Ku Li dan Mohamad Sabu yang lebih dikenali Mat Sabu dimuat naik di laman sosial.

Sumber yang rapat dengan Mahathir mendakwa, perbincangan itu menyentuh cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan.

Turut dimuatnaik gambar pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sementara itu, Mahathir berkata pertemuan dengan Zulkifli juga dianggap sebagai biasa.

“Saya jumpa Zulkifli sebab kenal dia dah lama dah. Dulu jadi mufti Kuala Lumpur

“Jadi memang kenal dengan dia. Dia datang tunjuk kepada saya buku-buku yang dia tulis berkenaan dengan Covid-19. Itu lah,” katanya.

Mahathir menegaskan tiada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan pemimpin seperti Mat Sabu kerana mendakwa usaha itu dihalang individu tertentu.

“Tak bincang. Tak ada. Kita tak boleh buat dengan dia (Mohamad Sabu).

“Ada orang tak bagi. Ada orang tak bagi bukan dengan Mat Sabu…dengan parti dia,” katanya.

Bagaimanapun, Mahathir tidak menjelaskan siapakah individu dimaksudkan itu.

Mahathir, pertama kali mencadangkan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika beliau menggalas jawatan perdana menteri sementara selepas peletakan jawatan pada Februari lalu.

Sebelum ini, Agong mengingatkan semua ahli politik berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berharap Pejuang dapat didaftarkan dan tiada mainan politik daripada kerajaan.

“Kita bersedia jumpa berkali-kali (dengan JPPM), tetapi jangan main politik. Agong dah nasihat jangan ada banyak politik.

“Ini tindakan nak halang parti tak setuju dengan kerajaan adalah tindakan politik. “Kita sikit saja, kebanyakan bukan wakil rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memaklumkan permohonan Pejuang belum dapat diselesaikan kerana masih dalam penilitian dan semakan.

JPPM berkata, berdasarkan rekod jabatan hingga 29 Oktober, permohonan Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya dan masih berada dalam sistem eROSES.

 



Comments
Loading...