Orang sibuk bantu rakyat, dia sibuk naikkan gaji wakil rakyat


Di saat pemimpin parti pembangkang sibuk mencadangkan belanjawan yang fokus mencari solusi untuk masalah rakyat, pemimpin kerajaan pula sibuk berfikir untuk memenuhkan kantung poket sendiri.

Yuslaini Azmi, Malaysia Dateline

Saya hairan dengan sikap sesetengah pemimpin kita yang begitu pentingkan diri sendiri di saat rakyat ditimpa kesusahan akibat pandemik Covid19 ini.

Semalam dikhabarkan pemimpin politik Pas dari Kelantan iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mencadangkan penyelarasan dan kenaikan gaji untuk Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat di negeri Kelantan.

Di saat pemimpin parti pembangkang sibuk mencadangkan belanjawan yang fokus mencari solusi untuk masalah rakyat, pemimpin kerajaan pula sibuk berfikir untuk memenuhkan kantung poket sendiri.

Saya mahu tanya pada pemimpin Pas hari ini apa belanjawan rakyat yang ingin dibentangkan di Parlimen selain kenaikan gaji ahli politik? Tidak cukupkah lagi gaji berbelas ribu itu?

Saya berharap ada cadangan penambahbaikan bagaimana untuk membangunkan ekonomi di negeri Kelantan yang memberi keuntungan kepada rakyat sekurang-kurangnya.

Namun baru-baru ini di Kelantan, kita dikejutkan dengan elaun mengajar kelas pengajian takmir tidak boleh dituntut lain halnya di negeri Pulau Pinang kerajaan negeri malah menaikkan elaun guru agama walaupun dilabel dengan pelbagai tohmahan yang kurang enak.

Kenyataan Datuk Amar yang menyifatkan wakil rakyat seperti pegawai kebajikan seolah-olah tidak ikhlas bekerja untuk rakyat. “Anda dipilih, diundi dan diangkat oleh rakyat mewakili suara mereka di Parlimen sudah tentu anda harus menjaga kebajikan rakyat terutamanya di kawasan tempat anda”.

Saya mencadangkan gaji menteri ditolak sebanyak 30% setiap bulan dan kurangkan kabinet menteri sedia ada untuk fokus bantuan pada rakyat.

Apa gunanya kerajaan mempunyai kabinet besar tetapi menteri gagal berfungsi dengan baik? Alang-alang nak bersidang dengan 80 jumlah Ahli Parlimen sahaja elok rakyat menuntut kerajaan kecilkan saiz Kabinet dan jumlah Ahli Parlimen di Malaysia.

Mungkin hari ini ahli politik senang berada di tampuk kuasa tetapi rakyat tidak akan lupa segala tindakan wakil rakyat dan barisan kepimpinan kerajaan sedia ada yang membelakangkan rakyat demi agenda peribadi.



Comments
Loading...