DAP cadang tambahan perbelanjaan RM45 bilion kepada Budget 2021
Oleh Lim Guan Eng
Tambahan RM45 Bilion untuk Belanjawan 2021 atau tambahan 4% defisit kepada KDNK untuk mengatasi pemulihan ekonomi yang perlahan tahun depan, yang dijangka tidak akan mencapai pertumbuhan KDNK 7.5% yang diunjurkan. Ini berikutan tiada keyakinan bahawa KDNK Malaysia dapat tumbuh 7.5% pada tahun 2021, setelah unjuran 4.5% penguncupan pada tahun 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Kerajaan mengatakan bahawa pemulihan yang kukuh dalam pertumbuhan KDNK sebanyak 7.5% pada tahun 2021 akan didorong oleh peningkatan yang dijangka dalam pertumbuhan global dan perdagangan antarabangsa serta kesan pakej rangsangan Kita Prihatin bernilai RM305 bilion. Ini adalah tidak realistik apabila semua sumber pertumbuhan KDNK tahun depan telah lenyap.
Pertumbuhan global dijangka lemah tahun depan berikutan gelombang baru jangkitan COVID-19 dan penyusutan pakej rangsangan kerajaan tahun depan dengan dana COVID-19 dikurangkan secara drastik dari RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM17 bilion pada tahun 2021. Tambahan pula, penurunan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar Malaysia sebanyak 11.6% pada suku ketiga tahun ini, mempengaruhi potensi pertumbuhan ekonomi dan merosakkan daya saing Malaysia kerana negara-negara lain di Asia tidak mengalami fenomena yang sama.
Penurunan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar sebanyak 11.6% adalah kelemahan keyakinan ekonomi terhadap pertumbuhan masa depan. Untuk mengatasi perkara ini, DAP mencadangkan langkah fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion yang bersamaan dengan tambahan 4% defisit, merangkumi perlindungan sosial, penciptaan pekerjaan, menyelamatkan perniagaan dan pelaburan masa depan melalui teknologi baru dan pendidikan.
Pertamanya, perlu ada pelaksanaan segera kenaikan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 menjadi RM1,000 termasuk kepada penganggur yang dijangka mencecah 1 juta orang, yang akan menelan belanja RM12 bilion. Ini akan menyediakan jaring keselamatan segera bagi pekerja yang menganggur.
Kedua, pelanjutan moratorium pembayaran pinjaman bank 6 bulan lagi apabila tamat pada 30 September, menelan belanja RM6.4 bilion yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia. Sebaliknya penyambungan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank secara tersasar selepas 30 September, hanya membantu 645,000 peminjam, iaitu hanya 8% daripada 8 juta peminjam asal. Ramai yang mengadu bahawa ini tidak memanfaatkan mereka, tetapi hanya institusi kewangan dengan hanya memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman, sehingga memerlukan pembayaran faedah yang lebih tinggi.
Ketiga, insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa 2 tahun, di bawah MalaysiaKerja sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan untuk mendorong mereka mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh PH dalam Belanjawan 2020. Memperluas skim ini untuk merangkumi 600,000 pekerja Malaysia dan majikan mereka akan menelan belanja RM13 bilion. Ini juga akan membantu lebih daripada 500,000 belia yang menganggur.
Keempat, RM4 bilion harus dibelanjakan untuk mendigitalkan pendidikan termasuk membeli komputer riba untuk menyediakan pembelajaran atas talian kepada pelajar yang tidak dapat menghadiri sekolah.
Kelima, RM10 bilion harus diberikan untuk menyediakan talian hayat kepada perniagaan baru dan sedia ada, pinjaman dan pelanjutan kredit, terutamanya untuk industri pelancongan yang lumpuh. Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha) menjangkakan 40 hotel bajet terpaksa ditutup dengan kira-kira 2,000 pekerja kehilangan pekerjaan mereka, jika kerajaan tidak bertindak membantu. Kemudahan Pembiayaan Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion sangat sukar diperoleh, dengan hanya 3% permohonan yang dikemukakan oleh 2,300 ahlinya diluluskan kerana syarat ketat yang dikenakan oleh bank.
Demi menyelamatkan dan mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang. Ketaksuban mengawal defisit negara untuk melindungi penarafan kredit negara mestilah diketepikan untuk meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia.