Amanah tetap setia pada Anwar, sokong beliau sebagai PM


(Sinar Harian) – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa kesetiaan parti itu terhadap Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berbelah bahagi.

Naib Presidennya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus malah berkata, janji Amanah untuk mengangkat Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai Perdana Menteri tetap tidak berubah.

“Tetapi ia tidak bermakna kami perlu membenci Tun Dr Mahathir Mohamad atau menafikan sebarang keistimewaan dan kepakaran beliau dalam membawa kebaikan kepada negara.

“Beliau (Mahathir) juga mempunyai pengalaman dan kelebihan di peringkat antarabangsa. Amanah tidak wajar dibebankan dengan mewarisi sebarang kebencian yang ada di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pertelingkahan antara penyokong Dr Mahathir dengan Anwar dilihat semakin ketara ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa dibentuk melalui sokongan majoriti yang tipis.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, Amanah dan PH terus memperjuangkan agenda rakyat dan saling berhubungan secara baik.

“Kami masih berjuang untuk rakyat dan masih saling mesra antara satu sama lain. Kami terlalu sibuk untuk mengembalikan semula negara dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan urus tadbir yang baik,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, negara akan menjadi huru-hara memandangkan pemimpin daripada parti-parti di bawah PN saling bertelagah, sekali gus hilang tumpuan dalam memutuskan rantaian jangkitan pandemik.

“Membiarkan negara dipimpin oleh kumpulan parti-parti yang bersengketa sesama mereka dan bertopengkan muafakat kepentingan Melayu atau Islam akan membuat negara ini tidak stabil.

“Ketika negara dan kerajaan tidak stabil, tiada siapa dalam kalangan mereka yang fokus membela rakyat terutama pada musim pandemik koronavirus (Covid-19) ini,” katanya.

 



Comments
Loading...