Saya kalah pemilihan tahun 1987 kerana tidak guna politik wang – Ku Li


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa beliau tewas dalam pertandingan merebut jawatan presiden UMNO pada 1987 kerana tidak mengamalkan politik wang.

(Suara TV) – Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata beliau tidak percaya dengan amalan politik wang dalam usaha untuk mendapatkan jawatan.

“Saya tidak gunakan politik wang, saya tidak menang, bila saya bertembung dengan Dr Mahathir 30 tahun lalu, saya tewas kerana tidak gunakan politik wang… saya cuba jadi gentleman.

“Saya tidak gunakan politik sedemikian, saya tidak percayakanya,” katanya dalam satu temubual bersama portal The Malaysian Insight.

Selepas kekalahan Tengku Razaleigh dalam pemilihan pada 1987, sekumpulan ahli UMNO mengheret parti itu ke mahkamah berhubung isu pendaftarannya sehingga diputuskan tidak sah.

Dr Mahathir kemudian menubuhkan UMNO (Baru), sementara Tengku Razaleigh yang tidak diterima menyertainya mengasaskan Parti Semangat 46.

Parti Semangat 46 kemudian bubar selepas dua pilihan raya umum dan Tengku Razaleigh serta pengikutnya kembali ke pangkuan UMNO pada 1996.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh menegaskan beliau tidak berhasrat untuk memimpin UMNO dalam keadaan parti itu bergelumang dengan politik wang.

“Kecuali UMNO berubah dan lupakan politik wang… saya tidak berminat menyertai pertandingan (menjadi ketua) kerana saya tidak percayakan politik wang,” katanya.

Tengku Razaleigh bertanding jawatan presiden UMNO pada pemilihan parti yang lalu tetapi kalah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertandingan yang turut disertai bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau tetap menaruh kepercayaan kepada UMNO kerana parti itu banyak berjasa kepada negara sejak awal penubuhannya lagi.

“Saya percayakan UMNO, sebab itu saya tidak tinggalkannya… saya tidak menganggap UMNO sebagai alat politik yang saya boleh gunakan sesuka hati.

“Bagi saya perjuangannya yang harus kita syukuri dengan apa yang mereka sudah lakukan selama ini. Mereka sudah lakukan terlalu banyak jasa kepada negara berbanding (parti) orang lain,” katanya lagi.



Comments
Loading...