Ugutan menteri kewangan tiada asas sama sekali – Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad

Tidak ada asas sama sekali untuk menteri kewangan dan mana-mana pemimpin kerajaan untuk mengugut ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 di atas alasan jika belanjawan itu ditolak, penjawat awam dan frontliners tidak akan menerima gaji, pencen dan elaun.

Ini tidak benar sama sekali. Semasa saya perdana menteri pada tahun 1999, Belanjawan 2000 yang telah dibentangkan dalam bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen telah dibubar pada bulan November tahun tersebut untuk PRU10 diadakan.

Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baru telah mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan untuk dua atau tiga bulan sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan dalam bulan Februari 2000.

Peruntukan awal ini memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.

Peruntukan ini juga termasuk pembayaran untuk peruntukan-peruntukan tambahan yang lain sama ada untuk kementerian-kementerian ataupun untuk memudahkan kehidupan rakyat.

Dalam konteks ini, menteri kewangan dan lain-lain pemimpin kerajaan amatlah tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang jelas bertujuan untuk menekan ahli-ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021, walaupun ia adalah belanjawan yang banyak kekurangan dan keburukannya.

Kenyataan itu secara langsung bertujuan mengekang ahli-ahli Parlimen dari melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan Belanjawan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik parti yang memerintah.

Berdasarkan kenyataan menteri kewangan dan pemimpin kerajaan yang lain, jika belanjawan itu ditolak, rakyat dan penjawat awam akan menderita akibat dari sikap ahli-ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021.

Jika itulah pendirian menteri kewangan dan pemimpin kerajaan, ia bermakna ahli-ahli Parlimen perlu memberi blank cheque dan menyokong untuk kelulusan belanjawan tersebut walaupun terdapat kecacatan yang nyata di dalamnya.

Saya berharap menteri kewangan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang di dalam keresahan kehilangan kuasa berhenti dari mengeluar kenyataan yang tidak berasas, yang menakut-nakutkan rakyat semata-mata untuk kelangsungan politik mereka.

 



Comments
Loading...