Ku Li akan boikot Parlimen pada 26 November


(Malaysia Dateline) – Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada 26 November ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memaklumkan demikian dalam satu kenyataan berbahasa Inggeris:

“As the legitimacy of the government has not been decided yet am bound by my conscience on the oath i have taken and, therefore cannot participate in the debate on the budget.”

Keputusan Ahli Dewan Rakyat yang paling lama berkhidmat di Parlimen itu bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan hilang satu undi untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

Belanjawan 2021 sebelum ini dikatakan akan ditolak selepas Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengemukakan beberapa tuntutan sebagai sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021.

Antara tuntutannya ialah membenarkan pengeluaran simpanan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, selain mempertikaikan cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas Jasa (JASA) dengan peruntukan besar.

Pada 6 November lalu, kerajaan PN membentangkan Belanjawan 2021 membabitkan RM322.5 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kemudiannya pada 14 November lalu dilapor berkata bahawa gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak akan dapat dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

 



Comments
Loading...