Pergi mampuslah kau PAS: SANG KELEMBAI BERINGATLAH


Roslan SMS

Hubungan PAS dan Umno melalui MN bukannya ikatan ikut musim atau ikatan sambil lewa. Ianya hubungan politik yang komprehensif yang mengikat dua parti Melayu Islam yang terbesar dan tertua dalam negara.

Berdekad-dekad lamanya kedua parti ini bertarung dan bermusuhan tetapi bila berdamai dan bermuafakat demi memartabatkan perjuangan ummah mustahil ikatan itu boleh dengan mudah dilerai dan diputus.

Sesungguhnya inilah permuafakatan yang dirindui umat Melayu seluruh pelusuk negara dan digeruni musuh dimana sahaja mereka berada.

MN terus diperkukuh dipelbagai peringkat terutama di akar umbi yang sangat cemburu dan menghargainya.

Bukan mudah menatang dan menjinjing gagasan besar ini. Ada sahaja ujian dan cabaran mendepaninya tetapi menginsafi bahawa nasib dan masa depan ummah berada di tangannya maka segala  calar dan luka segera dirawat agar harapan ummah tidak tergadai.

Saya cukup terganggu apabila sahabat saya Datuk  Zaharin Mohd Yasin @ Sang Kelembai tanpa berfikir panjang tergamak menghasut:

“Pergi mampuslah kau PAS”

Maaf kalau yang melemparkan kenyataan ini dari musuh kami boleh terima sebab nama pun musuh tapi bila datang dari sahabat yang sepatutnya bersama menggalas amanah perjuangan ini maka perlu ditegur agar tidak tidak menjadi kudis kepada permuafakatan kita.

Kalau tak puas hati dan terusik sekali pun adat Melayu tak memaki apalagi menyumpah sesama sahabat.Ada saluran dan caranya.

Orang veteran patut lebih bijak bertindak mencerminkan usia dan kematangan mereka tapi maaf Datuk kenyataan ini cukup melampau dan bagi saya Datuk langsung terputus dari arus perjuangan MN sebenar, Datuk tak tahu dan mungkin tak ambil tahu apa yang sedang dicapai MN dipelbagai peringkat akar umbi.

Datuk sengaja mahu mengadu domba kerana Datuk banyak bermasalah dengan sesama Umno sehingga tergamak mencela kami.

Janganlah menjadi perkakas dan terompah kayu musuh.

Bukan sahaja Datuk jika ada pemimpin atau ahli PAS yang melampau dan tersasar sebegini akan kita tegur dan tuntut diambil tindakan.

Perjuangan keramat ini tiada tempat untuk mereka yang tidak tahu menghargainya apatah lagi yang kepala angin dan kepala batu.

Maaf sahabat tapi beringatlah.

 



Comments
Loading...