Nafi langgar SOP, orang ramai anggap Ismail Sabri masih mahu berdalih


“Kalau meja besar kena selang satu kerusi penjarakan. Ada tanda pangkah di meja. Kalau Menteri, ada sahaja alasannya”

(Malaysia Dateline) – Walaupun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dia telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai masih terus mempertikaikan sikap pemimpin Umno itu.

Rata-rata menyifatkan Ahli Parlimen Bera tersebut hanya menegakkan benang yang basah selain mempersoalkan Ismail yang berkumpul dan tidak memakai pelitup muka ketika rakyat boleh dikenakan kompaun RM1,000 jika berbuat demikian.

Terdahulu, Ismail menegaskan beberapa gambar pertemuannya dengan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali, Speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusof dan sejumlah yang lain sebagai fitnah.

Naib Presiden Umno berkenaan mendakwa pihak yang menyebarkan fitnah itu sengaja mengambil gambar dari sisi untuk menunjukkan mereka duduk tanpa penjarakan fizikal.

“Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan. Namun ini lah gambar sebenarnya..,” kata Ismail menerusi Facebook rasminya.

Bagaimanapun penafian itu dilihat hanya terus mengundang kecaman warganet memandangkan Ismail satu-satunya menteri Kabinet XXL Muhyiddin Yassin yang mengadakan talimat harian berhubung jumlah individu yang ditahan dan dikompaun kerana melanggar SOP ditetapkan kerajaan.

Pilih kasih 

Foto yang dikongsikan Ismail dalam menafikan dakwaan bahawa dia duduk rapat dengan individu lain juga dianggap tiada beza kerana dilihat masih lagi berkumpul ketika rakyat diingatkan untuk sentiasa berada di dalam rumah.

“Kami lebih tiga orang duduk satu rumah keluar makan satu kereta pun polis saman. Mereka syok saja lepak ramai-ramai,” kata Asuwadi Ismail.

Sementara itu, Hamidon Khalid berpendapat bilangan orang bagi sesebuah meja yang diduduki Ismail dan lebih 10 individu lain jelas mengingkari SOP walaupun foto diambil dari sudut mana sekalipun.

Bagi Sansiang Liew pula, jarak Ismail dan mereka di dalam foto yang tular itu juga tidak mematuhi standard jarak satu meter seperti ditegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ramai juga yang menyelar Ismail yang tidak memakai pelitup muka sedangkan makanan belum lagi terhidang di meja.

“Kenapa tak pakai pelitup muka di kedai makan? Waktu makan ok lah buka. SOP satu meja dua orang.

“Kalau meja besar kena selang satu kerusi penjarakan. Ada tanda pangkah di meja. Kalau Menteri, ada sahaja alasannya,” bidas salah seorang warganet.

Pengguna Facebook, Mohd Redzuan pula menganggap undang-undang di Malaysia khususnya dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19 seperti hanya dikuatkuasakan untuk rakyat bawahan.

“Pelitup muka tak pakai pun. Kalau rakyat dah kena saman RM1,000. VVIP tak kena saman. Pilih kasih sungguh!” tegasnya lagi.



Comments
Loading...