99,696 pekerja diberhentikan akibat COVID-19
Sistem Insuran Pekerja (SIP) merekodkan seramai 99,696 pekerja diberhentikan atas pelbagai sebab antara Januari hingga 27 November lalu.
(Berita Harian) – Antara sebab itu ialah penutupan perniagaan, pengecilan tenaga kerja, Skim Pemisahan Sukarela (VSS), Skim pemberhentian Kerja dengan Persetujuan Bersama (MSS), syarikat mengalami masalah kewangan kritikal, penutupan separa, pengambilalihan dan penempatan semula syarikat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata faktor itu disebabkan tekanan dialami semua industri secara global berikutan pandemik COVID-19.
“Berdasarkan rekod SIP hingga 27 November lalu, bilangan kehilangan pekerjaan membabitkan kategori pengurus ialah seramai 13,109 orang manakala profesional (26,079 orang) serta juruteknik dan profesional bersekutu (19,095 orang).
“Kategori ini adalah kalangan pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke atas.
“Menerusi data PERKESO, dianggarkan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 berpendapatan RM4,000 ke bawah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai jumlah pekerja diberhentikan dan mengapa Program Subsidi Upah (PSU) gagal menyenaraikan kakitangan pengurusan sebagai penerima subsidi upah.
Awang berkata, PSU diperkenalkan kerajaan disasarkan untuk membantu pekerja paling terkesan dalam golongan B40, bagaimanapun golongan pengurusan diberhentikan masih diberi perlindungan di bawah Akta SIP (Akta 800), tertakluk had gaji maksimum RM4,000.
Katanya, ini bermakna pekerja bergaji melebihi RM4,000 termasuk golongan pengurusan akan mendapat faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
“Kerajaan juga sedar masih ramai pekerja terkesan, terutama sektor pelancongan dan kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan melanjutkan pelaksanaan PSU selama tiga bulan secara lebih bersasar.
“Ia khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah,” katanya.