MB Perak gagal dalam undi percaya


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

(Berita Harian) – Usul berkenaan dikemukakan oleh Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu) pada persidangan yang berlangsung pagi ini.

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul berkenaan manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagian yang ditetapkan Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Sementara itu, Abdul Manaf ketika membahaskan usul berkenaan berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan (kewibawaan) kepemimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Katanya, ia sekali gus menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri yang ada sekarang menggunakan pendekatan pintu belakang.

“Kita lihat ini (Sidang DUN) menjadi medan terbaik untuk selesaikan masalah ini kerana dalam situasi pandemik COVID-19 tidak sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan sebagainya.

“Ada juga dakwaan yang mengatakan UMNO bersekongkol dengan DAP untuk jatuhkan kerajaan. Maka cara ini (melalui undi percaya) tentukan sama ada ADUN Chenderiang (Ahmad Faizal) ada majoriti atau tidak dalam dewan ini,” katanya.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, BERSATU (lima), PAS (tiga), DAP (16), PKR (tiga), AMANAH (lima) dan masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

Pada awal sesi pagi ini, usul undi percaya Menteri Besar Perak itu diminta untuk dibahaskan lebih awal berbanding usul lain termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu Bajet Negeri Perak.

Perkara itu diusulkan oleh Salbiah Mohamed (BN-Temengor) dan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) atas alasan bahawa Dewan perlu membuktikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempunyai keyakinan majoriti agar keraguan terhadap pemimpin kerajaan itu dapat dipadamkan.

Mohammad Zahir berpuas hati dengan pandangan Salbiah kerana perkara itu dijelaskan secara spesifik serta mempunyai sokongan 37 ADUN untuk membawa usul berkenaan.

Beliau kemudiannya meminta Abd Manaf membacakan usul berkenaan yang turut disokong Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering).

Usul berkenaan kemudiannya dibuka untuk perbahasan oleh wakil kerajaan dan pembangkang dengan Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) menjadi wakil kerajaan tunggal berbahas menyokong usul itu.

Selepas tamat perbahasan, Mohammad Zahir meluluskan proses pengundian belah bahagian dibuat selepas dicadangkan oleh Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dengan sokongan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan).

Semua ADUN diberikan kertas undi khas untuk ditandakan sama ada menyokong, tidak menyokong atau berkecuali berserta tanda tangan.

Selepas undian dibuat, proses kiraan undi turut disaksikan wakil kerajaan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (BERSATU-Sungai Manik) dan wakil pembangkang, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Speaker kemudiannya menangguhkan persidangan DUN Perak pada hari Rabu.



Comments
Loading...