Menteri Kewangan gagal pikul tanggungjawab, kata Anwar
(Sinar Harian) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz gagal menggarap tanggungjawab beliau dalam mempersiapkan negara dengan jalan keluar bersama pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan susulan pandemik Covid-19.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan balas Tengku Zafrul berkaitan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ oleh Fitch Ratings untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun yang lalu amat membimbangkan.
Katanya, beliau gagal menjawab persoalan dan kebimbangan yang dilaporkan Fitch iaitu kestabilan politik dan tatakelola.
“Langkah Sheraton pada Februari lalu tidak hanya menimbulkan kekacauan politik tetapi ia juga adalah permulaan usaha menginjak batu asas reformasi institusi yang telah digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan minoriti ini yang tidak punya keabsahan sama sekali daripada rakyat telah menyalahgunakan fungsi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan dukungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul melahirkan rasa kecewa kerajaan dengan penarafan tersebut terutamanya ketika tempoh luar biasa ketika ini memandangkan penularan pandemik itu masih lagi belum berakhir.
Jelasnya, ini kerana Malaysia telah pun mula melihat petanda pemulihan ekonomi hasil daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac 2020.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang prestasi jauh lebih rendah adalah tidak tepat dan mengelirukan.
“Kita harus lihat Malaysia hari ini dengan era lalu di mana negara tercinta ini adalah antara kuasa ekonomi serantau.
“Tidak ada perubahan yang nyata, dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam telah mula mendakap realiti digital dunia hari ini,” katanya.
Tambahnya, semak turun penarafan ituhanya mengukuhkan tanggapan selama ini bahawa Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang komited pada agenda reformasi serta telus, inklusif dan punya hala tuju yang jelas.
“Sebaliknya apa yang dihidangkan kepada kita hari ini adalah kekeliruan dan ketidakstabilan, yang pastinya akan merencatkan usaha untuk keluar daripada wabak ini dengan jayanya,” katanya.