Kerajaan UMNO dan PH di Perak?


(Astro Awani) – UMNO dijangka membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan di Perak susulan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu ditolak oleh majoriti wakil rakyat sewaktu undi diadakan untuk menentukan sokongan ke atasnya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.

Menurut sumber yang rapat dengan UMNO Perak, kerajaan bersama UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu akan dibentuk dalam masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad pula disebut-sebut bakal menggalas jawatan Menteri Besar Perak yang baharu.

“Setakat ini kerajaan baru, kerajaan UMNO dan Pakatan Harapan dengan MB-nya dari UMNO, kemungkinan besar Saarani,” kata sumber yang enggan namanya didedahkan itu.

Sebelum ini portal Suaratv melaporkan Saarani telah mempunyai sekurang-kurangnya 32 akuan bersumpah (SD) dari ADUN BN, PKR dan DAP bagi membolehkan beliau menjadi menteri besar.

Difahamkan lima ADUN dari Amanah juga telah bersetuju memberikan sokongan menerusi akuan bersumpah kepada Saarani untuk dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Ahmad Faizal.

Pada Jumaat, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Tambun gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya bagi mengekalkan kedudukan sebagai menteri besar.

Sebanyak 48 undi menolak usul keyakinan itu berbanding 10 yang menyokongnya. Satu undi rosak atau berkecuali.

Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Datuk Abd Manaf Hashim.

 



Comments
Loading...