Lantikan tiga Menteri Besar cerminan kegagalan: Sultan Nazrin
Pelantikan Menteri Besar Perak yang sudah masuk kali ketiga sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah cerminan kegagalan kepimpinan kalangan ahli politik.
(Sinar Harian) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ia membuktikan pimpinan politik gagal mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat.
“Sejak berlangsungnya PRU14, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan.
“Perkara mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini, tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan
“Perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan,” titah baginda pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, watak sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, hingga kata tidak lagi dikota serta bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.
“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.
“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan agar pemimpin tidak sesekali menganiaya rakyat hanya kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud.
Titah baginda, setiap ahli Dewan Negeri dipilih atas kepercayaan rakyat dengan harapan mereka dapat membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, meningkatkan taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial.
“Jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mahukan negeri yang aman lagi makmur dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan,” titah baginda.
Selepas PRU14 pada 2018, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Pengerusi PH Perak dilantik Menteri Besar Perak ke-12 sebelum meletak jawatan pada 9 Mac 2020 susulan penjajaran politik dan kemudian dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak ke-13 dengan memimpin kerajaan PN sebelum meletak jawatan pada 5 Disember lalu.
Hari ini, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 susulan keputusan undi percaya yang tidak memihak kepada Ahmad Faizal semasa Persidangan DUN Perak, Jumaat lalu.