Buat laporan polis jika fitnah – Annuar


(MyMetro) – Beberapa pemimpin Umno yang dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihati membuat laporan polis sekiranya dakwaan itu fitnah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, penama berkenaan juga boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanapun katanya, jika perkara itu (tandatangani SD) benar, individu berkenaan perlu berterus terang supaya tiada kenyataan berbeza dengan parti.

“Setakat ini yang saya tahu, itu (SD) bukan di peringkat parti. Peringkat parti sama ada Muafakat Nasional (MN) atau Majlis Tertinggi (MT), Umno tiada sebarang perbincangan untuk menandatangani SD.

“Maka, kita harap apa yang tersebar itu adalah tidak benar. Kali terakhir kita menandatangani SD adalah untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Justeru, mereka yang dikaitkan dengan tandatangan SD itu perlulah membuat laporan polis dan kepada SKMM sekiranya ia tidak benar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertemuan dengan blogger di Kampung Tapang di sini, hari ini.

Terdahulu, tular beberapa nama pemimpin yang dikatakan menandatangani SD bagi menyokong Anwar termasuk Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Ahmad Maslan; Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Ahmad Jazlan Yakob.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sehingga kini parti masih dengan kekal keputusan asal iaitu ‘no Anwar, no DAP’.

Ditanya mengenai konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian parti, beliau menjelaskan ancaman sedemikian sentiasa ada memandangkan kerusi parlimen kerajaan dan pembangkang yang hampir setara.

“Namun saya ingin tegaskan, di saat rakyat tengah mengalami kesusahan, kita tidak sepatutnya berpecah sebaliknya bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

 



Comments
Loading...