Menanti lebih banyak tembelang politik Anwar pecah
MOHAMAD ASRI, EDISI 9
TIDAK seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang sejak pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, satu demi satu belanjawan kementerian atau kata lainnya Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa diluluskan di Dewan Rakyat.
Terbaharu, belanjawan untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang di bawahnya termasuk peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), turut diluluskan dengan pindaan selepas undian belah bahagi memihak kepada menyokong rang undang-undang itu, mengatasi jumlah ahli Parlimen yang menentang.
Lima usul yang dikemukakan oleh pembangkang untuk menolak jabatan di bawah KKMM itu yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), gagal meyakinkan ahli Parlimen yang bersidang.
Ini bermakna sudah 22 kementerian diluluskan belanjawannya di bawah Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa.
Hanya tinggal lima lagi akan dibahaskan untuk diluluskan iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa akan memulakan ‘serangan’ dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa selepas “memberi laluan” Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar, ia tidak berlaku seperti dijanjikannya.
Janji beliau untuk menggeledah dan menyanggah habis-habisan pelbagai isu melibatkan semua kementerian, ternyata hanya omong kosong. Ia tidak menjadi kenyataan.
Serangan yang diuar-uarkan itu hanyalah sekadar ‘tamparan tak berbisa’ yang tidak memberi kesan apa-apa pun. Peluru Anwar jelas jauh tersasar.
Sekiranya inilah bentuk serangan yang dicanangkan oleh Ketua Pembangkang itu, jika tidak ada aral, insya-Allah belanjawan untuk lima kementerian yang lain itu juga akan diluluskan minggu depan.
Melihatkan jumlah undian belah bahagi yang dibuat terhadap 22 kementerian setakat ini, jelas majoriti ahli Parlimen memihak kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Mereka telah secara matang mengundi menyokong Belanjawan 2021 yang jelas dan nyata dibuat untuk kesejahteraan rakyat khususnya bagi melindungi nyawa dan kehidupan mereka.
Kalaulah ini satu pertandingan tinju, keputusan itu sudah dikira “knock-out”. Kalah mati. 22-0. Berdasarkan angka ini, tidak timbul soal usul undi percaya atau tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri.
Kegagalan ahli Parlimen pembangkang mendapatkan ‘angka’ yang cukup untuk menghalang Belanjawan 2021 daripada diluluskan di peringkat dasar dan kini di peringkat jawatankuasa menyerlahkan tembelang mereka sendiri yang sebenarnya tidak mempunyai sokongan seperti digembar-gemburkan.
Kegagalan tersebut mula membuka mata sekutu-sekutu Anwar dalam PH yang mula bersuara secara terbuka. Parti Amanah memberi tempoh selama seminggu kepada Presiden PKR itu untuk mengotakan janjinya menumbangkan kerajaan PN.
Parti itu bagaimanapun menafikan memberi kata dua kepada Anwar selepas berita itu tersebar luas.
Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal juga tidak lagi berselindung apabila menegaskan pembangkang akan gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika masih diketuai kepemimpinan yang sama.
Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Anwar selepas Ketua Pembangkang itu mengambil pendirian tidak mahu mengundi menentang Belanjawan 2021.
Shafie meminta perubahan dilakukan secara menyeluruh terhadap kepemimpinan pembangkang yang pada ketika ini kelihatan tidak menyatukan dan tiada arah.
Ahli-ahli Parlimen Warisan sebenarnya dari awal lagi sudah membuat ‘protes’ terhadap Anwar dengan tidak mengambil bahagian dalam undian suara dan undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa.
Anwar juga bukan sahaja sudah mula dicurigai oleh rakan-rakan dalam PH malah dalam kalangan pemimpin kanan PKR sendiri. Dalam satu tangkap layar perbualan grup WhatsApp yang tular beberapa hari lalu, pemimpin PKR daripada sayap AMK bertindak menyelar Anwar selepas beberapa kali merasa dipermainkan kononnya mempunyai sokongan majoriti bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Walau bagaimanapun Anwar seperti biasa tidak pernah mahu mengaku kalah. Ada sahaja langkah dan strategi dilakukannya bagi memberi harapan baharu kapada para penyokong PH.
Sejak beberapa hari lalu sudah mula tersebar sekali lagi khabar angin bahawa Anwar sedang giat mengumpul Pernyataaan Akuan Sumpah (SD) daripada ahli-ahli Parlimen termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.
Senarai nama mereka yang dikatakan akan menyokong Anwar juga sudah tular dalam media sosial. Beliau kononnya sudah mendapat sokongan mencukupi daripada ahli-ahli Parlimen BN terutama daripada ‘Kluster Mahkamah’ yang sedang berhadapan dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Cerita-cerita sebegini sudah berpuluh tahun kedengaran tetapi tidak sekali pun lagi menjadi kenyataan. Paling mengagumkan, para penyokong taasubnya masih yakin dan percaya dengan harapan palsu itu.
Sudah banyak kali juga tembelang politik Anwar pecah. Baunya masih tidak hilang sampai sekarang malah menyesakkan nafas seluruh rakyat Malaysia. Apakah rakyat masih boleh terus bertahan menghidu lebih banyak bau tembelang beliau selepas ini?