MP PKR: Anwar berhak tunjuk bukti sokongan 113 ahli parlimen
(Malaysiakini) – Presiden PKR Anwar Ibrahim berhak menunjukkan bukti dirinya mendapat sokongan daripada 113 anggota parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri, kata anggota parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
“Saya rasa jika berita itu benar bahawa Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson akan menunjukkan (bukti) sokongan 113 ahli Parlimen dalam masa terdekat (kepada Agong), saya berpendapat tindakan Anwar adalah wajar dan sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi berparlimen.
“Saya akan menyokongnya,” kata Hassan kepada Malaysiakini.
Terdahulu, portal Astro Awani yang memetik sumber melaporkan Anwar sekali lagi akan cuba menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan bahawa dia mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Sumber itu memberitahu Anwar mendapat sokongan 113 ahli parlimen dalam bentuk akuan bersumpah (SD).
Astro Awani kemudian melaporkan 10 anggota parlimen Umno termasuk presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak antara mereka yang memberikan sokongan kepada Anwar.
Selain itu Anwar juga dikhabarkan akan memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat pada Selasa depan.
Pada 10 Dis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata kerajaan tidak akan mendahulukan usul tidak percaya mahupun usul percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam aturan urusan mesyuarat di Parlimen.
Ini kerana katanya, setakat ini tiada petunjuk yang menggambarkan Muhyiddin hilang kepercayaan di Dewan Rakyat,
“Pembangkang mengatakan sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 tak diluluskan, ia mengandaikan perdana menteri hilang kepercayaan majoriti.
“Tetapi seperti kita maklum, belanjawan telah diluluskan (dengan undi suara) dan kurang ahli Parlimen yang tak bersetuju. Itu rekod di Dewan Rakyat.
“Maka tak timbul langsung kononnya ada kekurangan atau kehilangan sokongan majoriti terhadap Pagoh,” katanya.
Anwar dalam satu sidang media pada 23 Sept lepas mendaka mempunyai jumlah sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri baru.
Dia kemudian diperkenan mengadap Agong pada 13 Oktober, dan mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti anggota parlimen yang diperlukan.
Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya.