Penularan perbualan Whatsapp Takiyuddin, Zafrul berniat jahat


Perbualan menerusi aplikasi WhatsApp antara Datuk Takiyuddin Hassan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tular dipetik di luar konteks dengan niat memberi perspektif negatif mencemarkan nama menteri dari Pas itu.

(Malaysia Gazette) – Setiausaha Politik kepada Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud berkata, tugas Takiyuddin sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menjadi penyelaras antara kerajaan Persekutuan dan negeri Kedah bagi memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua belah pihak selari dengan dasar kerajaan.

Takiyuddin juga, kata Wan Rohimi berperanan menjadi pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian atau jabatan termasuklah agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah selepas dilantik sebagai Menteri Penyelaras pada 1 September lalu.

“Cetakan perbualan melalui applikasi WhatsApp tersebut sengaja dipetik di luar konteks dan ditularkan dengan niat yang curang untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Takiyuddin menjadi pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada Kedah daripada Kerajaan Persekutuan; Pengerusi bersama Menteri Besar Kedah berhubung pengurusan bencana; dan apa-apa tugas yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari masa ke semasa melibatkan kerjasama kedua-dua pihak.

Sebelum itu, tular kononnya ada perbincangan mengenai projek rundingan terus antara Takiyuddin dan Tengku Zafrul untuk untuk projek loji rawatan air.

Untuk rekod, tangkap layar perbualan Whatsapp di antara Takiyuddin dan Zafrul baru-baru ini didakwa berhubungan dengan kontrak menswastakan pengurusan operasi dan penyelenggaraan bekalan air Langkawi.

Perbualan tersebut dipercayai berkaitan penglibatan anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah iaitu Bina Darulaman Berhad dan cadangan penglibatan rakan usahasama Taliworks Corporation.



Comments
Loading...