Jika UMNO singkir Ku Li, kurangkan ahli Parlimen – Nazri
Nazri sebaliknya berpendapat Tengku Razaleigh tidak mengelirukan ahli UMNO kerana sebenarnya ahli parlimen bebas membuat keputusan mengikut pertimbangan masing-masing.
(Suara TV) – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berpandangan UMNO tidak perlu mengambil sebarang tindakan terhadap Penasihat parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah susulan gerakannya bersama pembangkang yang dilihat cuba “menjatuhkan” kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Nazri menegaskan hal demikian kerana kerana jumlah ahli parlimen UMNO ketika ini tidak ramai.
Justeru katanya tindakan seperti memecat Tengku Razaleigh hanya akan menyebabkan jumlah ahli Parlimen UMNO berkurangan.
“Kalau jumlah kita (UMNO) besar bolehlah kita nak buang orang dan ini bukan era buang orang,” katanya yang dipetik Sinar Online.
Nazri menambah, keadaan berbeza jika semasa pilihan raya Tengku Razaleigh berkempen melawan UMNO.
“Itu lain,” katanya.
Tengku Razaleigh pada 14 Dis lalu berkongsi sidang media dengan Dr Mahathir Mohamad untuk mengajak Ahli Parlimen mengundi menolak Belanjawan 2021.
Sebelum ini belanjawan berkenaan diluluskan pada peringkat dasar ketika orang ramai menjangkakan berlaku pertentangan sengit sekali gus meletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin di ambang kejatuhan.
Semasa dibahas dan diundi di peringkat jawatankuasa, peruntukan bagi semua kementerian juga diluluskan dengan undi majoriti, dengan sesetengahnya dibezakan undi yang tipis.
Undian di peringkat bacaan ketiga pada 15 Dis lalu adalah peluang terakhir pembangkang menjatuhkan kerajaan PN melalui undian belanjawan. Bagaimanapun di sebalik kesepakatan pembangkang menolaknya, ia masih memihak kepada PN dengan undian 111 bersetuju berbanding 108 menolak.
Tengku Razaleigh sendiri tidak hadir semasa pengundian berlangsung. Untuk rekod veteran Umno itu menganggap kerajaan PN dan Muhyiddin tidak memiliki keabsahan sepatutnya.
Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan semalam mengecam Tengku Razaleigh dan menganggapnya mengelirukan ahli dan gagal menghormati disiplin parti.
Nazri sebaliknya berpendapat Tengku Razaleigh tidak mengelirukan ahli UMNO kerana sebenarnya ahli parlimen bebas membuat keputusan mengikut pertimbangan masing-masing.
Malah katanya kerajaan PN sekarang pun ditubuhkan hasil sokongan ahli Parlimen UMNO bersama parti lain.
“Jadi ahli Parlimen bebas untuk membuat keputusan sendiri. Masa kita tubuhkan kerajaan dahulu, bukan parti yang membuat keputusan.
“Ahli Parlimen berkumpul beramai-ramai kemudian kita setuju dan maklumkan kepada Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.