Rakyat nilai halatuju politik Dr Mahathir, Ku Li
(Harakah) – Usaha akhir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas seterunya, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhirnya gagal.
Langkah mereka yang berpadu semula selepas sekian lama bermusuh tidak menjadi kenyataan.
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, sidang media mereka sebelum pengundian Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa Selasa lepas tidak memberi kesan kepada kerajaan Perikatan Nasional.
“Ku Li membuat sidang media sehari sebelum bajet diluluskan, ia boleh dianggap sebagai langkah yang melambangkan kekecewaan mereka untuk mencari kedudukan yang lebih tinggi dalam politik.
“Bagi saya seperti lembu yang hendak disembelih sebelum nak mati dia akan membuat tendangan terakhir sehabis kuat tetapi kesudahannya tetap tidak akan ke mana kerana ia pasti tidak dapat bangun kembali,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada Isnin lepas, Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dilaporkan yakin mampu menarik sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional melalui undian Belanjawan 2021 yang dibentang untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika sidang media bersama bekas Perdana Menteri Malaysia yang Ketujuh dan Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al-Bukhary sehari sebelum Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat.
Kata Ustaz Hashim, rakyat sedang menilai ke mana hala tuju mereka berdua yang dahulunya bermusuhan dalam politik.