Ini yang Umno mahu sambil tunggu PRU 15”
Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan kedudukan politik yang ada sekarang adalah suasana yang dikehendaki oleh Umno sambil menunggu pilihan raya umum ke 15.
(Malaysia Digest) – “Sambil meraih faedah melalui penyertaan dalam kerajaan PN, Umno sedang berusaha menyekat kemaraan PN dan Bersatu dari dalam.
“Mereka menjadikan PN kuda tunggangan,” kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, kumpulan media terbesar negara itu menerusi tulisan di facebook beliau.
Di pihak lain pula, katanya, sesetengah pemimpin Umno, khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah, akan terus bermain kayu tiga dengan Muhyiddin dan Anwar bagi mendapat “the best deal” berkaitan kes-kes mereka.
“Bagi Umno, apa yang penting adalah cuba kembali berkuasa melalui Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya.
Untuk itu, katanya, ia perlu membendung pengaruh Bersatu dan Pas dengan cara berbaik-baik dengan mereka tetapi pada masa yang sama mensabotaj mereka.
“Matlamat sepadu Umno adalah menguburkan Bersatu dan menyekat Pas.
“Dengan Muhyiddin, Umno sudah tahu kekuatan dan kelemahannya serta apa lagi yang boleh diperas ugut. Dengan Anwar belum tahu,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Namun bagi beliau, prospeks Umno malap kalau terus bergantung kepada kepemimpinan kleptokrasi yang ada sekarang dan serentak itu menekan barisan pengganti macam Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Maka dalam suasana itu, kekallah Muhyiddin sebagai kambing korban yang disajikan pelbagai makanan berkhasiat sambil menunggu masa disembelih.
“Atau dia sendiri sedang berkomplot untuk merampas Umno dan kembali sebagai bos nombor satu parti itu,” kata beliau lagi.