Najib, Zahid tidak berani tarik sokongan dari Muhyiddin sebelum Febuari 2021, ini sebabnya…
“Jika Team A sabar dan menunggu sehingga bulan Febuari, bukan hanya kemungkinan untuk parlimen dibubarkan lebih tinggi, menteri-menteri dari Barisan Nasional akan dapat menabur pelbagai janji menggunakan peruntukan dari dana dari Belanjawan 2021 sebelum parlimen dibubarkan dan PRU15 berlangsung”
(The Third Force) – Pada 27hb Julai 2020, di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu wartawan dalam nada yang agak tegas bahawa satu “keputusan politik besar” akan diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Zahid berkata demikian setelah Hakim Mahkamah Tinggi menyabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan salahguna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Kenyataan Zahid merupakan reaksi terhadap hukuman tersebut, seolah-olah UMNO tidak berpuas hati dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak ‘mempengaruhi’ mahkamah agar Najib dibebaskan atau dilepaskan dari segala pertuduhan.
Ianya mungkin ada sangkut pautnya dengan rancangan sulit Team A pimpinan Najib dan Zahid untuk mencetuskan pembubaran parlimen seandainya Najib didapati tidak bersalah dan seterusnya menamakan Najib sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional.
Zahid memberi persepsi kononnya Team A akan menghukum Perikatan Nasional dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, sekaligus meruntuhkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.
Tiga hari kemudian, dalam satu sidang media, Zahid menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional kekal menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.
“Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pembentukan kerajaan pusat dan di beberapa negeri,” katanya.
Bukankah itu yang diputuskan oleh Barisan Nasional dari awal lagi?
Pada 13hb Mac 2020, tak sampai dua minggu selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, Zahid memberitahu media bahawa UMNO hanya menyokong Muhyiddin sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRu15).