Amanah akui budaya musyawarah, ketelusan dalam PH terhakis


(Malaysiakini) – Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui budaya musyawarah (perbincangan), ketelusan dan perkongsian dalam Pakatan Harapan (PH) sedikit terjejas kebelakangan ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata isu membabitkan permasalahan, polisi ataupun program dalam PH perlu diselesaikan secara musyawarah.

“PH mesti punyai komitmen untuk mengatasi apa jua permasalahan tentang kepimpinan, dasar atau polisi serta program dengan berpandukan musyawarah serta konsesus dengan berani serta terbuka, di peringkat Majlis Presiden PH.

“Ketelusan dan perkongsian inilah yang telah membawa tahap kepercayaan tinggi dalam kalangan pemimpin tertinggi PH sejak sekian lamanya.

“Amat diakui bahawa amalan dan tradisi ini sedikit terjejas akhir-akhir ini,” katanya ketika menyampaikan pidato Presiden pada Konvensyen Amanah yang berlangsung di Melaka, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika PH dilihat sedang mencari-cari hala tuju seterusnya selepas gagal menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan PN dalam usaha gabungan pembangkang mengambil alih semula kerajaan.

Kegagalan itu turut dilihat mencalar kredibiliti Anwar sebagai ketua pembangkang dan pengerusi PH.

Pada 17 Dis lalu, Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadual berlangsung di bangunan parlimen pada petang dibatalkan dan belum ada tarikh baru ditetapkan.

Mesyuarat itu sepatutnya diadakan selepas pembangkang gagal menyekat Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat sehari sebelumnya.

Pembatalan itu juga berlaku tidak lama selepas Mohamad dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama mengingatkan agar PH tidak berharap kepada ahli parlimen kerajaan untuk mengambil alih semula kerajaan dan sebaliknya mencari persamaan di kalangan ahli parlimen pembangkang.

Kenyataan dua pemimpin parti komponen PH itu ditanggapi sebagai gambaran untuk membawa semula bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya ke dalam PH, yang menyebabkan beberapa pemimpin PKR tidak senang.

Pemimpin Amanah dan DAP bagaimanapun menafikan mereka meminggirkan Anwar.

 



Comments
Loading...