Lim Guan Eng marah Malaysia di belakang Singapura
(FMT) – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyelar Putrajaya kerana menggunakan alasan kos berhubung kelewatan ketibaan vaksin COVID-19 selepas Singapura menjadi negara Asia pertama memperolehinya awal minggu ini.
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, negara jiran itu menerima vaksin lebih awal kerana ia mempunyai kemampuan kewangan yang lebih besar untuk berbuat begitu.
Lim berkata, alasan itu mungkin munasabah sekiranya vaksin berkenaan menelan dana sebanyak RM100 bilion.
“RM2.1 bilion adalah amat kecil jika dibandingkan dengan pakej rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM305 bilion yang dilancarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk menangani impak negatif penularan COVID-19?
“Saya tidak percaya Kementerian Kewangan menolak penggunaan dana sedia ada untuk membeli vaksin lebih awal. Saya berharap Kementerian Kewangan dapat menjelaskan perkara ini.
“Jika ia benar, keengganan untuk menyediakan dana RM2.1 bilion atau RM3 bilion adalah kesilapan lebih besar dan lebih tidak kompeten daripada penurunan penarafan kredit oleh Fitch Ratings baru-baru ini,” katanya.
Kerajaan komited untuk membeli vaksin bagi 82.8% daripada 32 juta rakyat negara ini, dengan satu juta dos pertama dikhaskan untuk golongan sasar seperti petugas barisan hadapan, warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit tidak berjangkit.
Bekalan pertama dijangka tiba pada Feb tahun depan.
Khairy berkata, kelewatan itu disebabkan kos.
“Singapura menandatangani perjanjian pembekalan vaksin beberapa bulan sebelum Malaysia kerana kemampuan kewangan republik itu jauh lebih besar,” katanya pada Rabu.
“Kita mengambil masa untuk mendapatkan terma perjanjian terbaik mungkin. Jikalau perbezaannya dua bulan (bagi mendapatkan vaksin), saya rasa ia munasabah.”