‘PH bertelagah isu ketua, Muhyiddin terus berakar di Putrajaya’
(Malaysiakini) – Presiden Amanah Mohamad Sabu mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bertelingkah sesama sendiri berhubung isu ketua.
Jelasnya, ketika PH bertelegah tentang siapa yang harus diangkat menjadi ketua, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terus berakar umbi di Putrajaya.
Bekas menteri pertahanan itu mengingatkan PH supaya tidak mengulangi kesilapan seteru mereka sebelum ini yang berpecah sehingga menyebabkan mereka tewas.
“Beralih sedikit kepada bibit keretakan dan kelompangan yang kita saksikan dalam mengembalikan mandat rakyat khususnya mengenai soal kepimpinan ketua negara amat menginsafkan.
“Jangan antara kita bertelagah siapa nak jadi ketua, sedangkan Muhyiddin terus berakar umbi di sana (Putrajaya),” katanya ketika menyampaikan pidato Presiden pada Konvensyen Amanah yang berlangsung di Melaka.
Pada 17 Dis lalu, Mohamad dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama mengenai langkah ke depan pembangkang selepas gagal menyekat Belanjawan 2021 diluluskan.
Dalam kenyataan itu Mohamad dan Lim mengingatkan agar PH tidak berharap kepada ahli parlimen dalam kerajaan untuk mengembalikan mandat yang mereka perolehi.
Sebaliknya mereka menyeru PH mencari persamaan dalam kalangan parti pembangkang untuk membentuk kerjasama lebih luas bagi menghadapi Perikatan Nasional (PN).
Selepas kenyataan itu, Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama dibatalkan.
Kenyataan itu ditanggapi sesetengah pihak sebagai gambaran untuk membawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Shafie Apdal dalam PH semula.
PKR bagaimanapun menegaskan bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan mampu mengembalikan mandat yang dimenangi PH pada PRU lalu.
Dalam pada itu, Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata parti itu tidak menolak bahawa kejayaan PH menumbangkan BN adalah kerana pengaruh Mahathir dan Anwar.
Menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media selepas itu, Mohamad menafikan yang pemimpin utama PH tidak lagi berhubung dengan Mahathir.
“Kita sering berbincang dalam mesyuarat-mesyuarat PH, sama ada kita nak mengambil ahli kerajaan secara cukup bilang ahli parlimen yang menyokong atau pun nak hadapi pilihan raya.
“Kita akan berbincang dan akan membuat keputusan bersama (pembangkang yang lain),” katanya.