Apakah PAS ada ‘konspirasi main kayu tiga’, Puad soal Takiyuddin


(FMT) – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Puad Zarkashi menolak dakwaan PAS, sebarang tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin akan mengakibatkan perpecahan lebih dahsyat dalam masyarakat.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan sama ada PAS sendiri mempunyai sebarang perancangan “konspirasi” apabila “bermain kayu tiga” dengan menyertai Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) pada masa sama.

“PAS mungkin selesa, kerana dalam PN dan MN tiada Amanah (seteru PAS). Tiada siapa kacau.

“Justeru, yang perlu Takiyuddin jawab ialah apakah main kayu tiga bukan konspirasi?,” soal Puad, merujuk kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Puad tegas mempertahankan desakannya, wakil rakyat UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, kerana kegagalan kerajaan menunaikan janji kepada rakyat.

Beliau menolak dakwaan Takiyuddin, cadangan itu akan membawa kepada perpecahan lebih dahsyat dalam masyarakat.

“Saya tidak fikir cadangan tarik balik sokongan daripada Muhyiddin sebagai perdana menteri membawa kepada perpecahan. Ini untuk rakyat, kerana janji memudahkan rakyat tidak dipenuhi.

“Apabila PAS berkawan dengan DAP, apakah itu perpecahan Melayu? Apabila PAS berpisah dengan DAP, ia juga tidak dianggap sebagai perpecahan masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mengingatkan pemimpin Melayu-Islam supaya melihat kepada peluang penyatuan terbesar yang sudah dipersetujui dari awal antara UMNO dan PAS iaitu MN.

“Peluang penyatuan terbesar ialah apabila UMNO-PAS tandatangan piagam MN. Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai,” katanya.

Puad sebelum ini mendakwa kerajaan PN belum menunaikan janji mengenai penangguhan pinjaman dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat semasa perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat bulan lalu.

Takiyuddin menerusi ciapan di Twitter baru-baru ini menegur Puad supaya mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.

Menurutnya, legasi paling murni bagi seorang pemimpin sejati adalah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negaranya.

“Perpaduan perlu diasas atas kejujuran, jika tidak ia adalah tidak lebih baik daripada satu konspirasi,” katanya.

Puad bersetuju dengan kejujuran politik yang diutarakan Takiyuddin, namun menegaskan pemimpin UMNO dari awal sudah bersikap jujur kerana menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri walaupun Ahli Parlimen Pagoh itu terlibat dalam konspirasi menjatuhkan UMNO pada pilihan raya umum ke-14.

“Bahkan Najib Razak juga secara jujur membuat kenyataan terbuka, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, Barisan Nasional masih ada cara untuk bertindak,” katanya.

 



Comments
Loading...