Pejuang, PKR letak syarat pada idea gabungan besar pembangkang
(Malaysiakini) – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PKR meletakkan syarat berdasarkan pendirian parti berikutan keinginan Amanah ingin menyaksikan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim bergandingan sekali lagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya parti itu terbuka dengan sebarang cadangan tetapi enggan menyokong sekiranya kerjasama tersebut melibatkan golongan kleptokrat.
“Pejuang juga terbuka terhadap apa-apa cadangan termasuk mahu menjalinkan kerjasama tetapi pendirian kami jelas iaitu atas matlamat untuk memastikan negara bersih dari rasuah.
“Kami tak akan beri apa-apa sokongan sekiranya ada kerjasama dengan kumpulan sama ada penyokong kleptokrat. Kita lawan rasuah dan tak nak negara hancur,” katanya lapor BH Online.
Pada 26 Dis lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapan dasarnya di Konvensyen Amanah menyentuh mengenai cadangan gabungan besar antara parti pembangkang untuk menghadapi PRU ke-15.
Sementara itu Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata untuk merealisasikan perkara itu, perjanjian asal menyokong Anwar untuk memimpin negara seperti yang dijanjikan selepas Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14 perlu dikotakan.
“Kembali kepada perjanjian asal! Mandat rakyat sewaktu PRU ke-14 jelas. Menyokong DSAI (Anwar) untuk memimpin negara selepas Dr Mahathir.
“Justeru, saya percaya Amanah boleh meyakinkan Mahathir untuk mendukung segala usaha DSAI mengembalikan semula mandat rakyat dan terus memimpin pakatan pembangkang pada waktu ini,” kata Shamsul.
DAP dan Amanah sebelum ini menggesa anjakan politik baru dilaksanakan dalam pembangkang selepas kerajaan PH – yang mendapat mandat daripada rakyat pada 2018 – dijatuhkan.
Gabungan politik besar bermakna PH menjalinkan kerjasama dengan pembangkang yang lain seperti Pejuang, Warisan, Upko, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Muda.