Semakin banyak tin kosong yang berbunyi – Annuar
(Malaysia Gazette) – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menyifatkan tidak wajar untuk ahli politik khususnya daripada UMNO mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menyelar Pas.
Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak manis sekiranya seolah-olah ada yang memberi kata dua kepada Pas yang merupakan rakan dalam Muafakat Nasional (MN).
Tambah beliau kerjasama di antara UMNO dan Pas sepatutnya lebih diperkasa menerusi MN.
“Dari sudut politik, adalah tidak manis dan tidak bijak untuk kita bertanya seolah memberi ultimatum (kata dua) pada Pas sama ada mahu PN atau MN.
“Bagi yang terlibat dalam menyiapkan Piagam MN akan faham Pas berhak buat ketentuan. Kerjasama UMNO-Pas terus diperkasa kerana ia teras muafakat ummah,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sejak kebelakangan ini banyak yang bersuara namun ianya dalam kalangan ‘tin kosong’.
“Semakin banyak ‘tin kosong’ yang berbunyi… Usah dinilai dari volume suaranya, tetapi tengok tengoklah isinya, latar belakangnya dan track record,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zakarshi mengajak Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menunaikan tuntutan berkaitan Belanjawan 2021.
Puad berkata, tiga atau lima Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah cukup untuk membuktikan protes kepada tuntutan yang gagal ditunaikan.
Kemudian Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberi respon kepada kenyataan itu dengan berkata, seorang pemimpin sepatutnya mempertahankan sebuah penyatuan yang dibina.
Jelasnya, perpaduan dan kesatuan yang dibina menerusi sebuah kerajaan sepatutnya dipertahankan.
Puad kemudian semalam membalas kembali kenyataan Takiyuddin dengan berkata sepatutnya kenyataannya itu diulas oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan Pas.