‘Makanan rakyat Malaysia banyak toksik’


“Makanan rakyat Malaysia banyak mempunyai racun. Kita sekarang tidak pedulikan makanan bertoksik. Kita hanya sedar sebentar apabila ada negara lain menolak maknan bertoksik yang negara kita hasilkan.”

(Malaysia Dateline) – Ahli ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram bimbang banyak bahan makanan yang diperoleh rakyat di negara ini mengandungi toksik.

Penasihat (Penyelidikan) Khazanah Research Institute itu menyifatkan polisi kerajaan dan kesedaran masyarakat sepatutnya perlu meletakkan keutamaan kepada pengambilan makanan yang sihat dan selamat.

“Makanan rakyat Malaysia banyak mempunyai racun. Kita sekarang tidak pedulikan makanan bertoksik.

“Kita hanya sedar sebentar apabila ada negara lain menolak maknan bertoksik yang negara kita hasilkan.

“Haiwan-haiwan dipelihara kita guna terlalu banyak bahan berbahaya seperti hormon dan antibiotik.

“Kita patut fikirkan keutamaan makanan yang sihat dan selamat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara menerusi Facebook Dialektika TV yang dimoderatorkan Sayed Munawar malam tadi.

Media tempatan sebelum ini kerap mendedahkan wujudnya kandungan racun yang tinggi dalam produk sayur-sayuran yang ditanam di negara ini.

Bahan makanan yang dihasilkan termasuk untuk dieksport dikesan tercemar akibat penggunaan pelbagai jenis racun secara berlebihan.

Akibatnya, pelbagai produk sayuran keluaran Malaysia ditarik balik dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bahan kimia seperti fipronil iaitu sejenis racun serangga yang lazim digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

Jomo yang pernah berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, pengambilan makanan yang sihat dalam kalangan murid sekolah pernah cuba dilaksanakan sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Sebab itu sewaktu pemerintahan PH pernah dicadangkan supaya semua anak Malaysia dapat memperoleh makanan di sekolah.

“Semua sekolah memperoleh makanan daripada contohnya pertubuhan atau koperasi peladang. Ini memerlukan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Kementerian Kesihatan.

“Malangnya, usaha itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya lagi.



Comments
Loading...