PH gagal tunjuk kesungguhan banteras rasuah, kata Anwar


(Malaysiakini) – Gabungan besar tidak bermakna selagi pemimpin kerajaan terus mengulangi kerosakan yang lalu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Katanya, kerajaan PH sebelum ini gagal menunjukkan kepada rakyat kesungguhan mereka untuk membanteras rasuah selepas diberi peluang 22 bulan mentadbir Putrajaya di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Anwar, PH ketika itu hanya lantang mengkritik pentadbiran BN berhubung isu 1MDB, serta rasuah membabitkan pemimpin Umno.

“Sebaliknya mengambil sikap berlembut bila mana ia melibatkan pemimpin sendiri.

“Ya kita keras dalam isu rasuah, isu 1MDB, rasuah dalam kalangan pemimpin Umno, tapi kita banyak tolak ansur dengan rasuah di kalangan puak-puak kita.

“Di antaranya menjadi pengkhianat besar, ini yang menyebabkan saya katakan kita hilang paksi perjuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kegagalan PH membawa agenda reformasi yang sebenar ketika menjadi kerajaan sehingga dakwanya, menyebabkan rakyat kecewa.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, rakyat memilih PH menjadi kerajaan kerana mereka mahukan perubahan khususnya dalam usaha menangani rasuah.

Katanya perubahaan secara besar-besaran perlu dilakukan bagi menyakinkan rakyat bahawa PH mampu mentadbir lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu yang didalangi presidennya, Muhyiddin Yassin berpaling tadah dan mengambil keputusan untuk meninggalkan PH pada Feb tahun ini.

Ia disusuli dengan kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang turut mengambil langkah yang sama membelakangkan PH.

Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

“Ketika kita menjadi kerajaan maka harus diperlihat satu sikap berbeza. Kalau program kita semua hampir sama (dengan pentadbiran terdahulu) cuma baik sikit, kalau rasuah kurang sikit berlaku, kalau tolong rakyat lebih sikit, ini bukan reformasi.

“Sepatutnya kita letakkan satu asas yang lebih baik, tapi ini tidak lansung memperlihat semangat dan keupayaan reformasi, ini yang menyebabkan rakyat kecewa,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...