AMANAH, PH sedia bincang kerjasama dengan Umno bila perlu


(Malaysia Dateline) – AMANAH dan Pakatan Harapan sedia berbincang dengan Umno jika parti itu sedia untuk bekerjasama atas prinsip dan perjuangan yang ditetapkan oleh PH, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

Menerusi bualbicara secara langsung dalam TV Internet Jom Channel malam tadi Khalid bersetuju bahawa, musuh dan kawan dalam politik ini tidak kekal tetapi yang kekal adalah prinsip perjuangan.

“Saya setuju bahawa prinsip yang kekal, kawan dan musuh tak kekal dalam politik ini. Jika Umno setuju dengan prinsip dan perjuangan yang dibawa oleh PH, kita boleh bincang jika perlu,” kata Khalid dalam bualbicara itu.

Beliau menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi yang berkata, dasar ‘No DAP, no Anwar’ hanya disuarakan oleh Tan Sri Annuar Musa bukan dipersetujui oleh semua anggota MT Umno.

Khalid menegaskan, perbincangan boleh dibuat jika perlu tetapi buat masa sekarang ia hanya bersifat teori sahaja dan belum ada usaha ke aras itu.

“Jika setuju dengan prinsip yang PH bawa, boleh bincang bila perlu. Tetapi buat masa sekarang tidak perlu serius sangat bincang kerana belum ada keputusan untuk berbincang.

“Takut kita sembang serius sangat tetapi tidak ada apa-apa pun,” kata beliau lagi.

Menurut Khalid, apa yang beliau nampak sekarang, apa yang disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno termasuk Puad itu hanya strategi Umno untuk menekan Bersatu sahaja agar menurut kehendak mereka.

“Takut hanya strategi Umno untuk tekan Bersatu sahaja bukan mahu bersama PH. sebagaimana Belanjawan baru-baru ini,” kata Khalid merujuk kepada penentangan Umno terhadap Belanjawan tetapi selepas tuntutan Umno diterima, mereka mengundi menyokong Belanjawan 2021 itu.

BUKAN DENGAN UMNO EN BLOC

Bagi Khalid, strategi yang wajar difikirkan adalah bukan bersama Umno secara keseluruhannya (en bloc) tetapi berunding dengan individu MP yang menyokong Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Bukan dengan parti secara en bloc tetapi dengan individu yang bersedia dan dihormati. Kalau kita nak tarik dari sebelah sana, kita sudah ada 108 dari 222, kita hanya perlu tiga, empat atau lima sahaja lagi. Jadi kita boleh dapat dari Umno, Bersatu, dari geng Azmin yang dah nampak halatujunya entah ke mana, Tengku Razaleigh, bukan secara en bloc,” kata Khalid.

Khalid tidak bersetuju kalau perbincangan dengan Umno ini dibuat dengan pemimpin parti Umno iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Razak.

“Bagi kami AMANAH pula, jangan sekali-kali berunding dengan Najib atau Zahid. Ini kerana mandat rakyat dalam PRU 14 yang sokong kita dahulu adalah tolak Zahid dan tolak Najib.

“Bagaimana kita nak justify tindakan kita mahu kembalikan mandat rakyat tetapi kita runding dengan Zahid dan Najib. Ini yang perlu kita fikir balik.

“Kita kena gunakan 108 itu sebagai asas. Inilah seruan kita dari AMANAH. Kita bawa tajuk ini dan cadangan ini, DAP pun setuju,” kata beliau yang turut berkata, perkara ini telah diterangkan dan diterima dalam Konvensyen AMANAH di Melaka minggu lalu.

 



Comments
Loading...