‘Ahli Umno dicuri’ – Bersatu pertimbang tindakan undang-undang terhadap Asyraf


(Malaysiakini) – Bersatu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki setelah dia menuduh parti itu membeli ahli Umno, menandakan satu lagi masalah antara parti sekutu Perikatan Nasional.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan (gambar judul) menafikan tuduhan itu dan menuntut permohonan maaf daripada Asyraf.

“Tindakan beliau (Asyraf) menyebut “setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000” tidak dapat diterima sama sekali.

“Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini. Saya menuntut Asyraf memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta merta.

“Saya juga akan berbincang dengan pihak parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal ini,” katanya pada hantaran di Facebook.

Bersatu nak lemahkan Umno?

Asyraf membuat tuduhan itu awal hari ini melalui hantaran di Facebooknya.

Dia tersinggung selepas artikel oleh BH Online baru-baru ini memetik Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin berkata parti pemerintah itu berhasrat memiliki 8,000 cawangan dalam masa tiga bulan akan datang.

Hamzah dilaporkan berkata Bersatu tidak memikat ahli Umno. Tetapi jelasnya, terserah kepada ahli Umno untuk menyertai Bersatu kerana kedua-dua parti itu anggota PN.

Asyraf menyoal sekiranya Hamzah mempertahankan apa yang didakwanya usaha berterusan Bersatu untuk “mencuri” ahli Umno.

“Sejak beberapa bulan ini, banyak sekali aduan dan keresahan di kalangan ahli dan pimpinan Umno akar umbi seluruh negara yang mendakwa Bersatu galak ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli Umno.

“Justeru, kenyataan pimpinan tertinggi Bersatu yang semacam tiada rasa bersalah bahkan mempertahankan kemasukan ahli Umno ke dalam Bersatu atas dasar ‘keterbukaan’ dan alasan di bawah satu ‘bumbung Perikatan Nasional’ hanya akan menyebabkan hubungan Umno-Bersatu makin meruncing dan membarah.

“Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli Umno jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar Parti Perikatan Nasional diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan Umno,” katanya.

Asyraf menggesa supaya Bersatu berhenti ‘memikat’ ahli Umno.

*************************************************************************************

PPBM MESTI HENTIKAN SEGERA ‘CURI’ DAN ‘BELI’ AHLI UMNO JIKA MAHU SELAMATKAN KERJASAMA

1. Ketika suasana hubungan UMNO-PPBM di akar umbi semakin panas dan getir lantaran perebutan dan ‘kecurian’ ahli yang semakin menjadi-jadi, Setiausaha Agong PPBM tidak wajar menambahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang membara.
2. Sejak beberapa bulan ini, banyak sekali aduan dan keresahan di kalangan ahli dan pimpinan UMNO akar umbi seluruh negara yang mendakwa PPBM galak men’CURI’ dan mem’BELI’ ahli UMNO. Ada yang mengaku bahawa setiap yang menyertai PPBM dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000.
3. Justeru, kenyataan pimpinan tertinggi PPBM yang semacam tiada rasa bersalah bahkan mempertahankan kemasukan ahli UMNO ke dalam PPBM atas dasar ‘keterbukaan’ dan alasan di bawah satu ‘bumbung Perikatan Nasional’ hanya akan menyebabkan hubungan UMNO-PPBM makin meruncing dan membarah.
4. Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat PPBM ditubuhkan dan gabungan besar Parti Perikatan Nasional diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan UMNO.
5. Seharusnya dalam suasana permuafakatan Kerajaan yang terbentuk, dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari titik-titik persefahaman dan merungkai segala bentuk perbezaan termasuk menghentikan sebarang usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan lebih besar.
6. Ambillah juga ibrah pengajaran bagaimana runtuhnya kerjasama UMNO-PAS dalam Barisan Nasional, lantaran persaingan berebut ahli yang semakin parah sepanjang 1974-1977, mengakibatkan terpisahnya dua parti terbesar orang Melayu sehingga melarat kepada persengketaan puluhan tahun.
7. Daripada mengerahkan segala peruntukan dan sumber dana besar parti untuk menubuhkan cawangan, adalah lebih baik memanfaatkannya dengan penggemblengan parti-parti rakan kongsi seperti UMNO dan PAS untuk aktiviti bantu rakyat di peringkat akar umbi secara bersama.
8. Apatah lagi hampir semua Ahli Parlimen PPBM ketika ini termasuk yang ‘lompat’ daripada UMNO berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Seharusnya fokus untuk digemblengkan segala sumber untuk bantu rakyat yang sedang susah dan resah memikirkan kelangsungan hidup dalam suasana Pandemik ketika ini.
9. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini berpendirian dan mendesak dihentikan segera sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama UMNO dan PPBM dalam Kerajaan Perikatan Nasional kini diselamatkan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
2 Januari 2021

 



Comments
Loading...