Annuar: Saya bukan pondan politik


(Malaysiakini) – Umno boleh membuat apa sahaja keputusan, sama ada untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional, ataupun untuk menyokong DAP mahupun Anwar Ibrahim, asal sahaja keputusan itu dibuat mengikut saluran yang betul.

Pesan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Setiausaha Agung BN, Annuar Musa kepada ahli-ahli Umno, berbincang biarlah bertempat, dan platform Facebook dan kumpulan sembang bukanlah tempat yang sesuai bagi membincangkan keputusan parti.

Membayangkan ada suara-suara daripada parti yang mahukan Umno menarik balik sokongan daripada PN, kata Annuar, kalau itu yang dimahukan, biarlah ia diputuskan oleh parti sendiri, bukan menerusi cakap-cakap yang bukan di saluran sepatutnya.

“Tapi saya nak tanyalah, keluar tu nak pergi ke mana? Keluar nak jadi pembangkang ke? Keluar nak sertai DAP ke? Keluar nak bergabung dengan Anwar Ibrahim ke? Kalau itu jalan nak keluar, ayuh kita bincang dulu.

“Nak bincang di mana? Kita bincang di tempat sesuai, bukan dalam Facebook, bukan dalam grup WhatsApp. Parti boleh buat apa saja keputusan, tapi bincang biar bertempat.

“Sesama ahli Majlis Tertinggi (MT), berapa kali nama saya dibedal oleh sama-sama ahli MT. Sampai hari ini saya pilih untuk tak menjawab. Sebab bukan kelasnya kita duduk dalam Majlis Kerja Tertinggi, (tetapi) bedal sesama sendiri.

“Cara orang lain saya tak tahu, tapi bukan cara saya. Tapi saya bukan pondan. Saya bukan pondan politik,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh 2020 hari ini.

Rentak mana yang betul?

Sebelum ini, Annuar dibidas beberapa rakan di dalam Umno kerana dikatakan sering menyebelahi Bersatu terutamanya dalam isu kerjasama PN yang memang dari awal tidak disenangi oleh sebahagian ahli Umno.

Umno bersekutu dengan Bersatu – parti serpihannya sendiri – pada hujung Februari lalu bagi menjayakan Langkah Sheraton yang menyingkirkan kerajaan PH daripada kerajaan pusat, di bawah payung PN bersama PAS dan parti-parti lain.

Kerjasama dua parti itu awal-awal lagi menempuh jalan sukar apabila sebahagian pemimpin Umno berasa parti mereka dianaktirikan pentadbiran presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, malah tidak kurang juga yang menggesa ahli Umno menarik balik sokongan kepada perdana menteri.

Apatah lagi, Umno hilang banyak kerusi kepada Bersatu apabila ramai ahli parlimennya yang melompat parti selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Annuar yang merupakan menteri Wilayah Persekutuan di dalam kabinet Muhyiddin, dituduh seolah-olah menjadi jurucakap Bersatu berbanding Umno, antaranya oleh Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi.

Malahan, Puad menempelak Annuar yang dikatakan suka mendahului presiden dalam isu dasar dan taktikal parti.

Bagaimanapun, Annuar mencabar pihak-pihak yang menuduhnya untuk membuktikan dakwaan mereka.

“Sebut satu perkara yang saya mendahului presiden. Sebut dengan saya satu perkara yang saya katakan bukan keputusan parti.

“Cuma bezanya kadangkala, benda diputuskan oleh parti, semua berdiam tak nak bercakap, bila setiausaha agung (BN) sebut, orang kata sayalah yang mendahului presiden.

“[…] Masalah kita, yang kita bincangkan, kadang-kadang tak sampai ke akar umbi. Di atas kita bawa satu rentak, di bawah, kita bawa satu rentak yang lain. Ini yang menjadikan masalah.

“Sekarang saya tak tahu, rentak mana yang betul,” katanya lagi.

Tak terhegeh-hegeh nak jawatan

Annuar turut membidas pihak yang menyindirnya sebagai jurucakap Bersatu, dan memberi amaran tegas agar kesetiaannya di dalam Umno jangan sekali-kali dipertikaikan.

Katanya, dia bukan ahli yang taksub dengan individu, apatah lagi untuk menjadi pemimpin yang terhegeh-hegeh untuk mendapatkan jawatan dan politik atau berebut-rebut kedudukan.

Katanya, sejak menjadi ahli Umno pada 1978 hingga sekarang, pelbagai perkara telah ditempuhinya: kalah dan menang berkali-kali, menjadi menteri dan tidak menjadi menteri, diberikan pangkat, mahupun tanpa sebarang pangkat.

Malah, katanya, mudah-mudahan, dia akan dapat memperjuangkan dan mendukung perjuangan Umno sehinggalah ke penghujung nyawanya.

“Saya ingin mencabar mereka-mereka itu, yang belum kenal perjuangan saya yang telah menjadi ahli (Umno) nombor 00124 daripada 3.4 juta. Saya ahli Umno yang ke-124 yang bersama menghidupkan semula Umno sewaktu Umno diharamkan.

“[…] Malah saya seharusnya bersyukur, Allah telah memberikan lebih daripada yang selayaknya kepada saya.

“Menteri sudah, ketua bahagian sudah, menteri kampung sudah, menteri bandar sudah. Di atas sudah, di bawah sudah. Menang sudah, kalah sudah. Apa lagi yang Annuar Musa mahu?

“Cuma satu perkara. Jangan mencabar kewibawaan saya tentang kesetiaan saya kepada parti. Belum tentu orang lain yang mencabar saya punya rekod yang lebih baik dalam kesetiaan (berbanding) saya,” katanya.

 



Comments
Loading...