Jangan lalai dengan konon suara akar umbi – Annuar Musa
(Malaysiakini) – Pemimpin kanan Umno Annuar Musa menasihatkan anggota parti itu agar tidak lalai dengan apa yang didakwa sebagai ‘suara akar umbi’ seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak apabila mengutarakan pandangan mereka.
Ahli parlimen Ketereh berkata, wujud trend di kalangan anggota Umno yang menyandarkan pandangan mereka kepada suara akar umbi, sedangkan pandangan itu katanya tidak sepenuhnya menggambarkan pendirian sebenar di akar umbi.
Memberikan contoh, kata Annuar, ada pihak yang memetik ketua bahagian sebagai suara akar umbi.
Sedangkan menurut setiausaha agung BN itu, akar umbi bukan sekadar ketua bahagian, tetapi meliputi ahli-ahli biasa di peringkat bawah yang lebih ramai.
“Annuar Musa ini ketua bahagian (Ketereh) tahu? Ini pucuk (pimpinan).
“[…] Akar umbi ini ‘akar’, di bawah lagi. Kalau suara Annuar Musa seorang, tak bentang terus-terang macam hari ini kepada bawah, dan biar bawah (tentukan) terima atau tidak apa yang saya cakap, itu belum (lagi dianggap) suara akar umbi.
“Itu suara saya, ketua bahagian, orang besar. Itu bukan suara akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh 2020 hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian ketika mendakwa ada pihak di dalam Umno yang cuba berunding soal kerjasama dengan DAP bersandarkan alasan ia suara akar umbi.
Malah, kata Annuar yang ketua Umno Bahagian Ketereh, di dalam politik, yang penting bukanlah hanya suara akar umbi, sebaliknya, suara rakyat atau pengundi setempat.
Ini kerana meskipun bukan disuarakan ahli parti, tetapi pengundi mempunyai kuasa memilih dan memberikan kemenangan kepada parti, jelas Annuar.
Memberikan contoh bahagian Ketereh di Kelantan, pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, Umno berjaya menang dengan mendapatkan undi 25,000 undi, sedangkan ahli Umno, atau akar umbi parti, hanyalah seramai 13,000 orang sahaja.
Katanya, hal tersebut bererti, di kawasannya itu, hampir separuh pengundi Umno bukan ahli parti berkenaan.
Untuk rekod, dalam PRU-14 di Ketereh, Umno menang dengan 25,467 undi mengalahkan PAS (20,481 undi) dan Bersatu (6,799 undi).
“Nasihat saya, jangan terlalu lalai dengan kononnya suara-suara akar umbi.
“Pertama, suara (yang didakwa) akar umbi yang tak dibawa ke akar umbi. Kedua, suara akar umbi belum (tentu) lagi suara majoriti. Tolong dengar suara rakyat, hati nurani orang Melayu, pengundi-pengundi di luar sana.
“[…] Saya sebut ini secara terus-terang, sebab terwujud trend yang cuba diada-adakan dan menghalalkan cara atas alasan akar umbi.
“Jangan lupa suara rakyat, jangan lupa suara pengundi. Apa lagi rakyat dan pengundi di kawasan-kawasan yang menang,” katanya lagi.
Dalam ucapannya juga, Annuar membentangkan lima perkara yang katanya diluluskan oleh Umno.
Katanya, ini selepas mengambil iktibar saranan bekas perdana menteri Najib Razak agar ahli Umno berani bersuara dalam mesyuarat Umno bahagian yang bermula hari ini hingga 3 Januari.
Tegas Annuar, dia akan berterus-terang mengenai segala perkara dan tidak akan menyembunyikan apa-apa.
Lima perkara yang telah diluluskan Umno termasuklah: bersetuju bersama PAS membentuk gabungan kerajaan PN; bersetuju dan sukarela menandatangai akan bersumpah menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri; No DAP No Anwar; bersetuju untuk terus menyokong kerajaan PN; dan memutuskan untuk Umno membuat sokongan secara en bloc dalam semua keputusan.
Dalam pada itu, Annuar juga mendedahkan perkara yang didakwanya tidak pernah diluluskan oleh Umno, iaitu menyokong Anwar Ibrahim dalam apa bentuk pun; berunding dengan DAP; menolak PAS dan Bersatu; dan untuk mendaftarkan Muafakat Nasional.