Adakah esok untuk BN?
Hasmi Hashim, Malaysiakini
Tentu tidak mudah bagi Tun Abdul Razak Hussein mengambil keputusan mengubah parti Perikatan, kepada jenama yang sepenuhnya baharu.
Kalau tidak cermat, tranformasi parti Perikatan pada 1973 itu boleh mengelirukan dan membawa padah. Boleh jadi “total lost”.
Tapi ia perlu dilakukan juga selepas tercetus tragedi 13 Mei 1969; dan selepas prestasi buruk parti Perikatan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.
Kedua-dua peristiwa berkenaan mendesak pimpinan parti Perikatan (khususnya Umno) memikir kembali strategi dan hala tuju gabungan politik era berkenaan.
Keputusannya, nama “Perikatan” dan logo kapal layar digugurkan. Ditukar kepada jenama dan imej yang sepenuhnya baru; dengan nama Barisan Nasional (BN), dan lambang dacing.
Lambang dacing bukanlah jenis penimbang yang selalunya terdapat di kedai-kedai runcit atau pasar ikan.
Lambang dacing diambil daripada simbol klasik keadilan sejagat yang dipegang oleh watak Ratu Adil; bertutup mata, serta tangan kiri memegang pedang. Mahasiswa undang-undang tentu pernah melihat imej berkenaan.
Penubuhan BN mempunyai matlamat agung, iaitu mahu mencapai keadilan sosial. Tanpa keadilan, Malaysia tidak akan dapat memupuk perpaduan. Dan tanpa perpaduan, peristiwa seumpama 13 Mei boleh berulang.
Bersatu di atas faham perkauman sempit, pengkhianatan dan curang akan merosak batang tubuh bangsa.
Begitulah hebatnya kesedaran bapa-bapa pendiri bangsa kita dalam mengenal pasti persoalan besar, dan merumuskan penyelesaian. Mereka cukup bijak serta berani mengorak langkah yang luar biasa.
BN dan lambang dacing itu sendiri jauh lebih bermakna berbanding nama serta logo Perikatan Nasional (PN) hari ini yang diciptakan oleh kem Muhyiddin Yassin. PN dilihat tidak lebih sebagai parti yang berdiri atas rasa dendam dan politik kebencian.
PN tidak ada imej berupa gambar tertentu. Meski warna biru tua cuba meniru birunya BN, logo yang berupa tulisan “Perikatan Nasional” tidak membawa apa-apa pengertian tersirat. Ia sekadar tulisan buta.
PN juga ditubuhkan secara tergesa-gesa selepas rampasan kuasa dalam “Langkah Sheraton”, Mac 2020. Selain itu, ia turut didaftar dan dirasmikan dengan terkocoh-kacah bagi memenuhi keperluan kempen pilihan raya mengejut negeri Sabah, September lalu.
Bandingkan, sebelum BN didirikan, beberapa dasar telah pun dirumus oleh pentadbiran Abdul Razak sebagai PM ke-2. Antaranya, usaha pengagihan kekayaan yang saksama dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berkonsepkan kebijakan “affirmative action”.
Rusia sebelumnya telah berjaya mengeluarkan negara mereka daripada kemelesetan ekonomi yang dahsyat dengan konsep berkenaan. Bahkan Kesatuan Soviet juga dikenali sebagai “Affirmative Action Empire” pertama di dunia.
Dalam masa sama, generasi kepimpinan di era Abdul Razak juga memperkenalkan ideologi negara yang kita ikrarkan sebagai “Rukun Negara”—ringkas, padat dan cukup berkesan sebagai penyataan jiwa Malaysia dan rakyatnya.
Para pendiri bangsa—yang saya sebut sebagai “generasi era Abdul Razak” tadi—mungkin telah mengambil ikhtibar daripada keadaan politik tidak stabil di banyak negara muda di Asia, yang juga baru merdeka.
Misalnya pemisahan India-Pakistan yang sebelumnya merupakan negara yang satu, tapi terpecah akibat pergeseran Muslim-Hindu. Di Indonesia pada pertengahan 1960-an pula telah berlaku pembunuhan jutaan jiwa akibat faham Komunisme dan kecurigaan kaum.
Jika dipelajari sejarah Amerika, keadaan di negara Uncle Sam itu lebih berkecamuk. Meski Amerika mencapai kemerdekaan jauh sebelum Tanah Melayu, iaitu pada 1776; namun akibat banyak perkara asas yang tidak beres, pada 1861 perang saudara tercetus.
Kepimpinan yang ikhlas dan cekap di antara generasi era Abdul Razak telah dengan cepat menyediakan asas kenegaraan; yang di Pakistan, India, Indonesia dan Amerika mengambil masa lama untuk dipersiapkan.
Dengan matlamat “kerajaan Melayu-Islam”, PN bukan penyelesaian kepada kesatuan dan perpaduan Malaysia. PN itu sendiri merupakan punca perpecahan dengan wujudnya parti-parti perkauman aliran keras di dalamnya. PN tidak lebih adalah blok ketiga atau “third force” diluar BN dan Pakatan Harapan (PH).
Namun, BN tetap ada kelemahan.
Punca kehancuran BN bermula bukan di era Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM ke-5, mahupun Najib Razak sebagai PM ke-6. BN mula mereput dari dalam dimakan anai-anai yang menetas serta membiak sejak era Dr Mahathir Muhamad menjadi PM ke-4 lagi.
Kalau hendak dikatakan Mahathir membawa kemajuan, kerosakan yang ditinggalkan juga sangat banyak. Kalau dikatakan Mahathir dapat memajukan banyak sektor, menjahanamkan sektor yang lain juga tidak terhitung.
Kesan terhebat tinggalan Mahathir adalah amalan politik tanpa nilai, yang bagi saya lebih rendah ketimbangkan “politik Machiavelli”.
Machiavellian sanggup melakukan apa sahaja untuk menang demi negara; tapi, Mahathirisme melakukan apa sahaja untuk menang adalah demi nafsu diri dan kelompoknya. Negara hanya dijadikan alasan, selain sebagai sumber menumpuk kekayaan.
Kita tahu BN tumbang dalam PRU ke-14 dengan Najib terpaksa menanggung beban. Siapa pun yang berada di tempat Najib pada 2018, BN tetap bisa kecundang meski tidak wujud skandal 1MDB.
Sebab-musababnya adalah seperti yang dinyatakan tadi, yakni Umno sudah terlalu lama mereput dimakan asai Mahathirisme. Anai-anai itu gagal dibasmi meski selepas Mahathir melepaskan jawatan PM pada 2003.
Di dalam PRU akan datang, dengan keadaan BN yang sudah berusia 48 tahun kini, adalah sukar untuk BN kembali menang dan menubuhkan kerajaan sendiri sepertimana 11 kali PRU sebelumnya.
Sekarang BN mempunyai 41 kerusi parlimen—39 daripadanya kerusi Umno. Kekuatan semasa Umno samalah dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh Keadilan yang berada dalam PH.
Tidak dinafikan, imej PH juga sangat buruk tercalar—juga bahana dirosakkan di era Mahathir menjadi PM kali kedua tempohari. Kalau PH masuk pilihan raya dengan bendera merah berkelapa anak panah itu, besar kemungkinan PH akan ditolak pengundi. Logo PH seakan sudah jadi imej traumatik kepada rakyat.
Begitulah teruknya PH telah dirosakkan Mahathir, Muhyiddin bahkan kumpulan Azmin Ali.
Seiringan itu, ramai melihat PN hanyalah sebagai PH 2.0 kerana PM dan ramai menterinya diangkut dari PH 1.0. Mungkin di sinilah titik persamaan BN dan PH kerana keduanya telah dibinasakan oleh individu yang sama.
Selain itu, Umno dengan cepat perlu menyedari bahawa Pas sama sekali bukan kawan. Tidakkah semakin jelas, Pas lebih berminat dengan pihak yang boleh mereka tunggang untuk berkuasa? Dengan kekuatan sendiri, sampai kiamat pun Pas takkan mampu menjadi kerajaan pusat.
Kalau Umno sumber kuasanya, maka Umno sahabat Pas. Kalau PPBM sumber kuasa itu, maka PPBM sahabat Pas. Kata sesetengah orang, agama lagikan Pas tunggang, apalah sangat parti politik seperti Umno atau PPBM.
Selepas ditinggalkan banyak parti, terutama dari Sabah dan Sarawak, BN tidak dapat tidak perlu melakukan “restart” dengan penjajaran baru parti-parti. Di situlah makna sebenar “grand coalition”—dan bukan macam sesetengah pihak yang hendak memungut parti sisa yang sudah luput kehormatan.
Bagi BN sendiri, kisah generasi era Abdul Razak yang dijelaskan agak panjang di atas, perlu dijadikan panduan. Gabungan besar baharu perlulah meliputi falsafah politik dan ekonomi, konsep dan imej, serta meneliti jiwa setiap parti yang akan dirangkul bersama.
Tanpa kesediaan untuk melakukan tranformasi besar ini—sepertimana Abdul Razak mengubah parti Perikatan kepada BN dahulu—jalan ke depan bagi BN sangat kelam. Namun sekiranya perjuangan generasi era Abdul Razak dijadikan rujukan, dalam PRU ke-15 nanti, PN hanyalah tandingan yang terlalu kerdil untuk ‘BN’ yang baharu.
Sebagai anggota Keadilan, saya tidak mahu menaruh impian berlebih-lebih kerana yakin, Keadilan tetap punya pilihan. Saya hanya mahu membayangkan betapa gementarnya PN dan sekutu mereka apabila mendengar laungan slogan “barisan rakyat, barisan kita!” Bersamanya ada pengertian besar “suara rakyat, suara keramat”.
Malaysia seperti yang dihasratkan oleh pejuang kemerdekaan dan bapa-bapa pendiri bangsa kita, perlu dibangunkan semula. Lekas! Sekarang juga.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.