Annuar akan tolak kerjasama Umno dengan DAP, Anwar Ibrahim
(Sarawak Voice) – Setiausaha Agung Barisan Nasional, BN, Tan Sri Annuar Musa berikrar akan menentang mereka yang cuba membawa ‘mazhab’ baharu ke arah mewujudkan blok pembangkang bersama DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, UMNO tidak boleh menganggap DAP itu sebagai rakan politik mereka kerana perjuangan yang dibawa UMNO bertentangan dengan dasar DAP.
“Saya ingatkan kalau ada ‘mazhab’ baharu nak bersama DAP, nak bagi talian hayat kepada DAP, saya akan lawan. Saya jelas (menyatakan) bahawa DAP tidak boleh menjadi rakan politik UMNO.. No DAP and No Anwar Ibrahim,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
“Saya nak cakap terus teranglah ya, ada satu gerakan dijalankan untuk bahagian-bahagian buat satu resolusi ke arah seperti mana yang dikatakan itu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan keperluan asas di Hospital Tumpat pagi Ahad.
Semua pihak boleh memberikan pandangan namun ketetapan parti telah jelas menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar dan memperkukuhkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
“Rakyat sedang memerhatikan tindak tanduk pemimpin mereka. Jangan sampai ke peringkat rakyat menyampah kerana sering berpolitik dan bertukar-tukar pasangan,” jelasnya.