Hentikan perbincangan sulit dengan Anwar Ibrahim dan DAP, kata Zainal Rafique
(Suara TV) – Para pemimpin UMNO digesa menjadikan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai satu iktibar dan pedoman agar tidak membawa parti ke laluan yang sama lagi pada masa hadapan.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique, mengingat pemimpin UMNO yang mengadakan rundingan sulit dengan Anwar dan DAP bahawa punca kekalahan lepas adalah kerana parti tidak memahami kehendak dan aspirasi majoriti rakyat terutamanya orang Melayu.
“Begitu terdesakkah sebahagian pemimpin kita kepada kuasa dan kedudukan sehingga khabarnya… ada yang tergamak berakad secara sulit dengan Anwar Ibrahim dan DAP?”
Zainal turut mengingatkan pemimpin UMNO agar mematuhi keputusan Majlis Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO yang menolak kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.
“Kita semua sudah tahu niat jahat parti DAP dan Anwar Ibrahim hanyalah kuda tunggangan yang di gunakan untuk mengaburi mata rakyat. Justeru UMNO Bukit Bintang hari ini ingin menyampaikan mesej kepada pemimpin di atas kita… UMNO Bukit Bintang menolak dengan keras sebarang kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim.”
Dalam ucapan perasmian tersebut juga Zainal turut mengingatkan para pemimpin UMNO bahawa keengganan menerima aspirasi pengundi Melayu menyebabkan parti kalah dalam pilihan raya umum lalu.
“Dalam PRU lepas kita telah mengabaikan teguran mereka… kita ketepikan pandangan pengundi kita anggap diri kita lebih bijak lebih betul dan lebih hebat dari mereka. Kita sanjung pemimpin melampau-lampau bagai raja di atas takhta sehingga akhirnya kita menafikan realiti dan teguran ikhlas dari rakyat.”
“Dahulu kita tidak mahu mencermin diri tapi sibuk memburukkan lawan. Kerana kita beranggapan lawan yang lebih buruk akan membolehkan kita kekal berkuasa! Malangnya mentaliti dan strategi sebegini sudah lama ketinggalan zaman!”
Walaupun tidak menolak dinamika politik namun Zainal turut mengingatkan ia tidak seharusnya melanggar prinsip parti hingga mengorbankan asas sebenar perjuangan UMNO.