Pas bertekad pertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin
(Sarawak Voice) – Pas menegaskan tidak mahu terlibat atau dilibatkan dengan sebarang polemik yang membawa negara kepada kancah perpecahan yang boleh mengundang kepada ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN), di samping mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Maka Pas menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti.
“Pas amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita yang tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini..
Takiyuddin berkata Pas tegas berpandangan aspek perpaduan amat penting dalam proses membina negara demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau lagi, Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui MN, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan kerajaan PN, Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan yang amat sukar,” katanya.