Takiyuddin: PAS tidak mahu terlibat ‘polemik politik’ bawa negara ke kancah perpecahan


(FMT) – PAS tidak mahu terlibat atau dilibatkan dalam “polemik politik” yang membawa negara ke kancah perpecahan, sekali gus mengundang ketidakstabilan serta menjadi ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata, PAS bertekad untuk memperkasakan gagasan Muafakat Nasional (MN) di samping mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PAS menyeru rakan-rakan politik, terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan baik dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menjelaskan sebab kenyataan berkenaan dikeluarkan, namun dipercayai merujuk kepada ketegangan antara UMNO dan PPBM yang dilihat semakin memuncak kebelakangan ini.

Sebelum ini, UMNO Pagoh sebulat suara enggan memberi laluan kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua UMNO bahagian itu, Ismail Mohamed berkata, mesyuarat perwakilan semalam sepakat menolak keputusan UMNO Johor sebelum ini supaya Muhyiddin diberikan laluan untuk terus bertanding.

PAS adalah komponen PN bersama-sama PPBM dan GPS, selain merupakan anggota gabungan MN.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini lantang bersuara supaya parti itu meninggalkan PN.

Takiyuddin berkata, semua pihak perlu komited, jujur, dan bertanggungjawab dalam mengurus pemerintahan dan pentadbiran negara terutama sewaktu dunia umumnya berada dalam keadaan yang sukar kini.

“PAS percaya perpaduan sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu, serta saling menerima dan hormat menghormati di antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya,” katanya.

 



Comments
Loading...