Hubungan UMNO-PPBM: Kerajaan retak menanti belah?
(FMT) – UMNO tidak mempunyai banyak pilihan selain menarik diri daripada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) selepas majoriti bahagiannya menolak kerjasama dengan PPBM, satu tindakan yang hanya akan menjejaskan parti itu, kata penganalisis politik.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Rabu bagi membincangkan isu hubungan dengan PPBM mesti mengikut suara akar umbi.
Katanya, hubungan dengan PPBM yang semakin buruk menunjukkan UMNO akan menarik diri daripada gabungan pemerintah, sekali gus memaksa berlaku pilihan raya awal kerana majoriti tipis Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
“Perang ini tidak dapat dielakkan, UMNO juga akan tewas kerana sebahagian pemimpin utamanya selesa bekerjasama dengan PPBM dan PAS, dan berkemungkinan mereka akan keluar atau dipecat kerana tidak selari dengan perjuangan parti,” katanya.
Kamarul yakin pemimpin PPBM tahu UMNO tidak lagi dapat dipujuk untuk terus kekal dalam kerajaan.
“Berdiam diri adalah yang terbaik yang dapat mereka lakukan bagi memastikan PAS sekurang-kurangnya tetap teguh dengan mereka, bukan memihak kepada UMNO.”
Katanya, pengunduran UMNO mungkin juga akan menejaskan kerajaan negeri pimpinan PN, termasuk yang diketuai oleh UMNO, sekali gus mencetuskan pilihan raya negeri.
Penganalisis Sosio-Politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, UMNO harus mendengar tuntutan majoriti atau berdepan risiko pemberontakan dari dalam.
“Hanya sebilangan kecil dalam UMNO yang mesra PPBM dijangka terus bekerjasama dengan parti itu sehingga Parlimen dibubarkan.”
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, MKT UMNO mesti memberi isyarat jelas, jadi tiada keraguan mengenai arah yang diinginkan oleh akar umbi parti.
Katanya, bagaimanapun MKT boleh memutuskan untuk terus mendukung kerajaan sehingga pilihan raya supaya tidak disalahkan kerana memaksa pilihan raya diadakan ketika pandemik.
“Yang pasti politik terus mengancam kestabilan, dan keyakinan pelabur serta masyarakat ketika ekonomi negara berusaha pulih daripada Covid-19.”