20 Wakil Rakyat DAP Mungkin Keluar Parti – China Press


(Suara TV) – Akhbar China Press melaporkan terdapat spekulasi kira-kira 20 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP mungkin akan bertindak keluar parti dalam masa terdekat.

Malaysia Gazette yang memetik China Press melaporkan, langkah keluar DAP itu akan dimulakan oleh Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan menyertai MCA, disusuli mereka yang lain.

“Tindakan wakil rakyat Perak itu dikatakan mungkin diikuti sejumlah Ahli Parlimen dan ADUN lain yang jumlahnya mencecah 20 orang,” kata laporan itu

Laporan sama mendakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bakal mengumumkan perkara itu kelak.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, beliau tidak tahu apa-apa mengenai spekulasi bahawa kira-kira 20 wakil rakyat DAP akan keluar parti dan menyertai MCA.

Kok Wai ketika ditanya mengenai spekulasi itu oleh China Press bagaimanapun hanya membalas secara ringkas: “saya tidak tahu apa-apa tentang hal ini.”

Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming ketika dihubungi Sinchew Daily pula enggan mengulas kerana perkara lompat parti itu belum disahkan.

Dalam perkembangan lain, portal Malaysiakini melaporkan DAP kini dilanda kemelut kepimpinan susulan wujud gerakan dalam parti itu untuk menyingkirkan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan penasihat parti, Lim Kit Siang.

“Menjelang pemilihan parti DAP pada pertengahan tahun ini, gerakan untuk menyingkirkan setiausaha agung Lim Guan Eng, dan bapanya, Lim Kit Siang dikatakan semakin mendapat momentum.

“Pelancaran sebuah buku yang dijadualkan pada 17 Januari disebut-sebut sebagai peluang bagi gerakan anti-Lim untuk merancakkan lagi momentum sebelum pemilihan parti, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 30 Jun,” kata laporan Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, dalam laporan lain pada Disember lalu, MalaysiaGazette melaporkan Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP Teng Chang Khim yang juga Exco kerajaan Selangor menggesa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng bersara dari politik.

Beliau berkata, dua pemimpin kanan DAP itu perlu berundur untuk memberi peluang kepada pemimpin generasi muda.

Katanya, Kit Siang dan Guan Eng telah mengisi separuh sejarah parti dari 1960 hingga sekarang dan sudah tiba masa untuk menyerah kuasa.

“DAP sudah mencapai zaman puncak dan sudah tiba masa untuk mereka menyerahkan kepada orang lain untuk meneruskan perlumbaan seterusnya,” katanya ketika menerima wawancara Nanyang Siang Pau.

Menurut pemimpin DAP itu lagi, disebabkan terlalu lama dengan kuasa dalam parti, banyak perkara telah menjadi “kebiasaan”, malahan menyebabkan mereka mempunyai kuasa yang terlalu besar dalam DAP.

 



Comments
Loading...