Apa hala tuju Umno jika tolak kerjasama dengan PPBM, soal Hishammuddin


(FMT) – Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein mempersoalkan hala tuju Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, sekiranya parti itu membuat ketetapan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PPBM.

Menteri luar itu ingin tahu jika ada kemungkinan Umno akan bekerjasama dengan DAP, PKR atau bergerak bersendirian.

Baginya, Umno harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab jelas dalam merancang hala tuju parti.

“Pertimbangan yang dibuat jangan bersandarkan emosi dan kesan jangka pendek. Perancangan kerjasama politik Umno harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok.

“Umno mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin berkata, ahli dan pemimpin Umno harus mengambil iktibar Barisan Nasional hanya memenangi 79 kerusi pada pilihan raya umum ke-14 berbanding 133 kerusi yang dimenangi pada PRU13, iaitu kehilangan 54 kerusi.

“Kita harus insaf daripada pengalaman ini. Kita masih berperang dengan Covid-19, kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir, ekonomi juga sedang dipulihkan, jumlah rakyat terkesan semakin meningkat.”

Katanya, rakyat sedang memberi peluang kepada Umno untuk pemimpinnya membuktikan parti itu prihatin, berkemampuan dan bersungguh-sungguh menguruskan krisis serta menitikberatkan kepentingan rakyat.

“Pemimpin Umno diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan Covid-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara.

“Turut mengetuai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin. Kita sepatutnya komited dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.”

Baginya, menjadi harapan rakyat di peringkat bawah untuk melihat pemimpin Umno bekerja, bukannya berpolitik merebut kuasa yang tidak berkesudahan hingga akhirnya menyebabkan rakyat mual dan hilang keyakinan.

Hishammuddin bagaimanapun berkata, sekiranya Umno membuat ketetapan semua menteri dari parti itu perlu meletak jawatan, beliau akan akur dan patuh kepada keputusan parti.

“Kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi yang akan bermesyuarat malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya Umno inginkan. Putuskanlah yang terbaik.”

 



Comments
Loading...