Jangan layani kemahuan adakan PRU: Rais
(Sinar Harian) – Senator Tan Sri Dr Rais Yatim menggesa kerajaan tidak melayani kemahuan parti politik tertentu yang mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Sebaliknya kata Rais, kerajaan perlu mengatasi pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang melanda negara.
“Peningkatan jangkitan Covid-19 merupakan petanda buruk kepada kehidupan rakyat,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.
Justeru beliau meminta semua parti politik bersabar.
“Kecapi dulu dividen Bajet 2021,” katanya.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat lebih tiga jam bersetuju membawa tiga usul utama yang dibangkitkan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada hujung bulan ini.
Antara usulnya adalah menggesa PRU dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.
Sebelum ini, portal melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan arahan untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum 1 Februari.
Tindakan itu sebagai langkah untuk mencetuskan PRU15.UMNO adalah blok terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai majoriti tiga kerusi di Dewan Rakyat.