PRU15 bukan kehendak akar umbi – Annuar Musa
(Astro Awani) – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, desakan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) bukan kehendak akar umbi parti.
Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, desakan itu jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab, memperagakan kemaruk kuasa dan tidak sensitif tentang derita rakyat ketika ini.
“Mendesak pilihan raya (PRU15) di saat rakyat dan negara berhempas-pulas dengan COVID-19, banjir, ekonomi jelas mencerminkan bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi memperagakan kemaruk kuasa.
“(Sikap itu juga) tidak sensitif kepada derita rakyat. Itu bukan kehendak akar umbi,” katanya dalam satu ciapan di akaun Twitternya di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Katanya, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan COVID-19.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, UMNO dijangka berdepan undi protes daripada pengundi sekiranya terus mendesak PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat sekali gus boleh memberi keuntungan politik kepada pembangkang.