MKT UMNO sudah setuju putus kerjasama dengan Bersatu – Zahid Hamidi
(Astro Awani) – Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO sudah bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun menjelaskan keputusan muktamad atau keabsahan berhubung usul berkenaan perlu diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada 31 Januari depan.
Menurutnya, cadangan berkenaan adalah antara usul yang diterima MKT UMNO dalam Mesyuarat MKT yang diadakan 6 Januari lalu dan ia akan dimasukkan sebagai usul dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada PAU nanti.
“Usul itu (menolak kerjasama dengan Bersatu) telah dibawa ke Mesyuarat MKT pada 6 Januari yang lalu dan kita telah memutuskan untuk menerima usul-usul itu dan kita akan melakukan keabsahan pada 31 Januari ini di dalam Perhimpunan Agung UMNO.
“Setakat ini keputusan MKT adalah menolak (Bersatu), tetapi keputusan terakhir yang saya katakan keabsahan itu adalah pada 31 Januari yang akan dimasukkan dalam usul ucapan dasar Presiden UMNO ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Kedah di Bangunan UMNO Kedah pada Sabtu.
Menurutnya, pertemuan berkenaan adalah bagi menggantikan konvensyen yang diadakan di setiap negeri menjelang PAU seperti sebelum ini.
Dalam pertemuan berkenaan, Zahid turut mengingatkan agar kepimpinan dan akar umbi UMNO dapat memperkukuhkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
MN jelasnya wajar dijadikan satu wadah penyatuan khususnya dalam menghadapi PRU15 yang berkemungkinan diadakan dalam tempoh terdekat.